Pemasangan loker sekolah bermula hujung bulan ini – Radzi Jidin

0
50
Dr Radzi Jidin

PUTRAJAYA – Penempatan loker untuk kegunaan sekolah akan bermula pada akhir bulan ini dengan jangkaan agihan disempurnakan pada Oktober tahun ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Dr Radzi Jidin berkata, fasa pertama inisiatif itu akan bermula untuk kegunaan murid-murid Tahun Satu dan Dua di sekolah yang mempunyai sistem persekolah dua sesi.

Beliau berkata, fasa kedua inisiatif itu dijangka bermula tahun depan yang mana penempatan loker-loker berkenaan akan dikembangkan untuk kegunaan Tahun Empat, Lima dan Enam.

“Untuk fasa 1 kita akan laksanakan di sekolah dua sesi iaitu untuk murid Tahun Satu dan Tahun Dua. Kita akan pasang loker-loker di sekolah pada hujung bulan ini.

“Pada bulan Oktober, kita akan cuba isytiharkan perolehan itu telah sampai ke sekolah dan semuanya dipasang,” katanya pada pertemuan dengan editor kanan media tempatan di sini hari ini.

Pertemuan itu merupakan sesi libat urus bagi menerangkan prinsip-prinsip asas dan pelan transformasi pendidikan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan.

Radzi sebelum ini memaklumkan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM37.3 juta bagi inisiatif pemasangan loker kepada 323,186 murid sekolah rendah melibatkan 10,662 buah kelas.

Gambar hiasan

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, murid-murid di sekolah satu sesi tidak begitu terbeban dengan berat buku teks kerana mempunyai laci meja untuk tujuan simpanan.

Menurutnya, pihak sekolah juga diberikan flesibiliti untuk mengehadkan jadual waktu kepada tiga hingga empat mata pelajaran sehari bagi mengurangkan berat beg.

Selain itu katanya, kementerian telah berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) untuk memberi kelonggaran kepada pelajar memakai pakaian sekolah semasa sesi persekolahan Kafa (Quran dan Fardu Ain).

“Tujuannya adalah untuk mengurangkan berat beg sekolah apabila murid terpaksa membawa pakaian untuk sekolah agama,” katanya.

Dalam pada itu, Radzi berkata, Kementerian juga sedang berusaha menambah baik kualiti infrastruktur dan tenaga pengajar untuk menangani stigma sesetengah sekolah yang dilihat sebagai “berprestasi rendah” atau “tidak baik”.

Beliau berkata, usaha itu akan dilaksanakan melalui penempatan guru besar dan guru-guru untuk menambahbaik prestasi sekolah yang terletak berhampiran dengan sekolah yang lebih menjadi pilihan ibu bapa.

“Ini akan menyelesaikan masalah sekolah yang dianggap “berprestasi tinggi” dan mempunyai terlalu ramai pelajar.

“Secara tidak langsung, ini akan membantu kerajaan mengurangkan keperluan membina bangunan baharu di sekolah yang didapati terlalu padat.

“Ibu bapa akan sedar bahawa mereka boleh mendapat kualiti pendidikan yang sama tidak kira di sekolah mana mereka menghantar anak mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here