Pembangunan 5G beri harapan besar kepada penduduk Sabah, Sarawak

0
14
Gambar hiasan

WALAUPUN sudah lebih separuh dekad Malaysia merasai nikmat kemerdekaan, namun perkara yang perlu diakui masih terdapat banyak ruang dan peluang penambahbaikan yang boleh dilakukan di bumi bertuah ini.

Kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai ahli keluarga Malaysia sudah mula diiktiraf sejak terjalinnya hubungan melalui Perjanjian Malaysia 1963. Di dalam perjanjian ini, terdapat sebanyak 11 Perkara yang disusuli dengan lampiran lampiran yang menjadi asas kepada Akta 26/1963 untuk meminda perlembagaan sedia ada iaitu Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu kepada Perlembagaan Persekutuan Malaysia selaras dengan penggabungan bersama Sabah, Sarawak dan Singapura.

Setiap satu daripada Perkara yang terdapat di dalam perjanjian ini berfungsi sebagai perkara dan arah tuju yang harus diikuti, dipatuhi dan ditunaikan oleh semua pihak yang telah menandatangani perjanjian ini.

Dari sudut pembangunan infrastruktur jalur lebar di Malaysia, tidak boleh dinafikan walaupun Sabah dan Sarawak memegang status selaku Rakan Sekutu, namun pembangunan infrastruktur jalur lebar masih bergerak perlahan. Pembangunan ini seharusnya disegerakan bagi menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai pusat pertumbuhan ekonomi baharu berikutan peluang ekonomi yang dapat dibuka melalui pendekatan infrastruktur jalur lebar.

Salah satu kerugian besar akibat pembangunan infrastruktur jalur lebar yang perlahan ialah mewujudkan jurang digital di antara kawasan Semenanjung Malaysia dan kawasan di Sabah dan Sarawak.

Jurang digital akan memberikan impak negatif kepada pembangunan masyarakat secara inklusif dari sudut ketaksamaan pendidikan, ketaksamaan akses kepada informasi kritikal dan ketaksamaan peluang pekerjaan.

Justeru, menyedari betapa pentingnya untuk menangani isu jurang digital, kerajaan telah berusaha untuk melakukan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan liputan dan kualiti jalur lebar terutamanya di kawasan Sabah dan Sarawak.

Antara tindakan yang diambil untuk memantapkan kualiti dan liputan perkhidmatan jalur lebar di Sabah dan Sarawak ialah pembinaan menara telekomunikasi baharu, penambahan stesen pemancar baharu, serta penaiktarafan perkhidmatan berasaskan tembaga kepada rangkaian gentian optik yang kesemuanya bertujuan untuk mempercepatkan pembangunan infrastruktur jalur lebar di Sabah dan Sarawak.

Inisiatif-inisiatif ini merupakan kesinambungan daripada pelan tindakan kerajaan melalui Jalinan Digital Negara (JENDELA) serta Digital Nasional Berhad (DNB). Kedua dua inisiatif ini mampu bertindak sebagai alat untuk mengakhiri masalah liputan rangkaian serta jurang digital di antara penduduk bandar dan luar bandar secara keseluruhan.

Strategi yang diambil kerajaan bagi menjayakan pembangunan infrastruktur jalur lebar di Sabah dan Sarawak ini merupakan satu gambaran untuk menghormati dan mengangkat status Sabah dan Sarawak sebagai Rakan Sekutu dengan cara memberikan perkhidmatan jalur lebar yang berkualiti serta mengoptimakan keupayaan teknologi.

Justeru, secara dasarnya, walaupun ruang dan peluang penambahbaikan masih wujud di Malaysia, namun dengan kehendak dan komitmen kerajaan, segalanya pasti akan tercapai.

Perlaksaan JENDELA dan DNB merupakan satu penanda aras yang jelas bahawa kerajaan sangat komited dalam menyegerakan pembangunan infrastruktur jalur lebar di Sabah dan Sarawak sekaligus dapat merapatkan jurang digital.

Oleh: Dr Danial Azman, Pensyarah Universiti Malaya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here