Pembentukan identiti nasional bukan satu tugas mudah – Perdana Menteri

0
8
Ismail Sabri menandatangani Buku Hari Malaysia sambil disaksikan oleh Dr. Jeffery G. Kitingan (kiri), Amar Awang Tengah (dua, kanan) dan Annuar (kanan sekali). – GAMBAR IHSAN JABATAN PENERANGAN

MELAKA – Pembentukan Keluarga Malaysia yang memiliki satu identiti nasional perlu terus dipertahankan demi menjamin kelangsungan kedaulatan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semakin bertambah usia negara, cabaran dan ancaman yang dihadapi semakin besar serta bertambah kompleks.

Begitu juga dengan usaha menyatupadukan pelbagai negeri dengan latar belakang demografi dan rencam yang berbeza selain faktor geografi yang berbukit-bukau dan laut menjadi pemisah bukanlah tugas yang mudah.

“Musuh-musuh yang memecah-belahkan hadir berbentuk ekonomi, politik dan sosial selain anasir-anasir dari luar yang giat berusaha menggugat kestabilan serta ketenteraman bangsa dan negara.

“Jika anasir-anasir ini dibiar berleluasa dan akhirnya memuncak ia dibimbangi akan menjadi ancaman kritikal yang boleh mengancam perpaduan Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2022 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir, di sini malam tadi.

Perasmian disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali; Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan; Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffery G. Kitingan dan Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Tan Sri Annuar Musa.

Perdana Menteri turut berkata, nilai-nilai Keluarga Malaysia berteraskan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran merupakan ramuan penting dalam usaha membina kekuatan agar kalis cabaran dalam menghadapi gelombang dan arus globalisasi.

“Dengan bersendikan konsep Tasamuh yang digariskan oleh Islam – iaitu hidup saling bertoleransi, harmoni dan selesa, menjauhi diri dari sifat prasangka serta curiga, segala perbezaan dan kepelbagaian ini, mampu dirai dan dihargai Keluarga Malaysia dengan hati yang terbuka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here