Pemuda UMNO cabar Muhyiddin ‘tekan butang’

0
15
Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki

CYBERJAYA – Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki mencabar Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengarahkan ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) untuk menarik semula sokongan kepada kerajaan sedia ada susulan serangan yang dilakukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Beliau berkata, bekas Perdana Menteri itu jangan sekadar berani menggertak kerajaan pimpinan Ismail Sabri dan dicabar ‘menekan butang’ sekarang.

“Jika Tan Sri Muhyiddin meyakini kerajaan hari ini gagal urus ekonomi dan perlu adakan PRU-15, maka jangan hanya menyalak dan menggertak, buktikan dengan tindakan sebagai anak jantan untuk segera arah anak-anak buah Tan Sri dalam kerajaan untuk menarik sokongan terhadap Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai membalas gesaan Muhyiddin yang tidak gembira dengan keadaan ekonomi Malaysia sekarang susulan penurunan nilai ringgit dan sebagainya.

Dalam pada itu, Asyraf juga meminta Muhyiddin untuk tidak menunding kegagalan itu hanya kepada Perdana Menteri.

Beliau berkata, ini kerana jawatan-jawatan yang berkaitan pengurusan ekonomi negara kebanyakannya disandang oleh menteri dari PN.

“Keadaan ekonomi hari ini jauh lebih baik daripada waktu beliau buat ‘Lock-Down’ separa masak paling lama dan menggantung Parlimen sewenangnya beberapa bulan. Jadi siapa sebenarnya yang gagal urus ekonomi?

“Siapa Menteri Kanan Ekonomi merangkap Menteri MITI? Siapa Menteri Perancang Ekonomi (EPU)? Dan siapa Pengerusi Majlis Pemulihan Ekonomi? Bukankah semuanya termasuk Tan Sri daripada parti Bunga? Sekali lagi siapakah yang sebenarnya gagal?

“Apakah setelah Tengku Zafrul isytihar menyertai Barisan Nasional, maka Menteri Kewangan lantikan Tan Sri bahkan disyaratkan oleh Tan Sri sendiri untuk dikekalkan sebagai Menteri Kewangan zaman Datuk Seri Ismail Sabri terus diisytiharkan gagal juga,” soalnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here