Pen 3D tarik minat, tingkatkan daya imaginasi kanak-kanak untuk hasilkan model sendiri 

0
16
Eksekutif Pemasaran dan Jualan Gaia Pebbles, Nor Athikah  Norrizan, mempamerkan pen 3D sempena program pameran Syarikat Gaia Pebbles Sdn Bhd di Malakat Mall di sini, hari ini.

CYBERJAYA – Penggunaan teknologi percetakan 3 Dimensi (3D) dilihat semakin meningkat dalam pelbagai jenis industri seperti aeroagkasa, automotif, penerbangan dan bermacam-macam lagi. 

Namun begitu, kini, kanak-kanak boleh menghasilkan model rekaan 3D mereka dengan hanya menggunakan sebatang pen. 

Menurut Eksekutif Pemasaran dan Jualan Gaia Pebbles, Nor Athikah  Norrizan, penggunaan pen 3D ini dapat membantu menarik minat dan meningkatkan daya imaginasi kanak-kanak. 

“Di peringkat awal tumbesaran ini kanak-kanak lebih cenderung untuk bermain jadi tidak sesuai untuk kita terus ajak mereka dengan menggunakan mesin 3D. 

“Jadi dengan menggunakan pen 3D ini mereka akan lebih bebas dalam menghasilkan bentuk produk yang dikehendaki,” katanya kepada Malakat Tribune di sini, hari ini. 

Mengulas dengan lebih lanjut, Athikah berkata, harga yang ditawarkan untuk pen tersebut juga berpatutan dengan kadar jangka hayat pen 3D berkenaan.

“Orang ramai boleh beli di website kami dengan harga RM55 sahaja dan pen ini boleh bertahan dalam lingkungan lima hingga enam bulan bergantung kepada penggunaan,” ujarnya lagi. 

Selain pameran dan jualan, Gaia Pebbles turut mengadakan bengkel percetakan 3D untuk kanak-kanak di Malakat Mall di sini, hari ini. 

Pengajar program bengkel percetakan 3D, Ridhuan Syakir, sedang memberikan penerangan mengenai fungsi dan cara pengendalian mesin percetakan 3D di Malakat Mall di sini, hari ini.

Sementara itu, ibu-bapa yang membawa anak-anak mereka ke bengkel ini juga berasa teruja kerana inj merupakan pertama kali anak mereka didedahkan dengan percetakan 3D. 

Azilawati Shuhaimi, 40, ibu kepada seorang peserta yang ditemu bual berkata, tujuan dia menghantar anaknya menghadiri program bengkel ini adalah untuk memberikan pendedahan awal kepada anaknya. 

“Saya hari ini datang dengan anak perempuan saya dan tujuan saya datang ini untuk berikan pendedahan awal kepada anak saya,” katanya. 

Ditanya mengenai perasaan anaknya, dia berkata anaknya berasa teruja kerana ini merupakan kali pertama dia menghadiri program percetakan 3D. 

“Dia teruja  sebab dekat luar sana jarang kita tengok orang buat program percetakan 3D jadi ini sesuatu yang sangat bagus untuk kanak-kanak terutamanya,” ujarnya lagi. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here