Pengampunan Diraja : Ambil panduan daripada titah YDPA

0
48
Dr. Shahidan Kassim pada Majlis Penutup Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya 2022 (Floria Putrajaya) di Anjung Floria di sini hari ini.

PUTRAJAYA – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim menggesa orang ramai termasuk ahli politik untuk tidak membuat ulasan terbuka mengenai proses Pengampunan Diraja kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebaliknya, Dr. Shahidan berkata, penjelasan mengenai perkara itu telah dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengingatkan bahawa peruntukan tersebut tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya.

“Benda ini benda besar. Kita tak boleh keluarkan komen begitu sahaja. Bila sampai masanya Ahli Majlis (UMNO) yang berkenaan akan buat yang terbaik.

“Komen mengenai perkara ini tak boleh dibuat secara terbuka sebab ia melibatkan perundangan, dunia dan akhirat. Seperti titah Yang Dipertuan Agong semalam, semoga kita ambil panduan.

“Bagi saya apabila seseorang itu telah mendapat hukuman, kita manusia lain ini hanya berdoa semoga Allah merahmatinya, jangan kita ditahap yang lebih lagi,” katanya sambil menolak untuk mengulas proses pengampunan yang difailkan Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya 2022 (Floria Putrajaya) di Anjung Floria di sini hari ini.

Dalam titah baginda sebelum ini, Al-Sultan Abdullah mengingatkan bahawa peruntukan undang-undang tidak boleh disalahgunakan kerana akan membawa kepada ketidak adilan dalam sistem pemerintahan.

Pada majlis itu, Shahidan yang merupakan Menteri Kementerian Wilayah Persekutuan Putrajaya mengumumkan pelanjutan tempoh festival Floria Putrajaya sehingga 11 September ini.

Penambahan tempoh penganjuran festival itu diputuskan selepas mengambil kira sambutan yang menggalakkan dari orang ramai dan cuti sekolah yang baru bermula.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here