Pengasas Al-Ikhsan Sports dilantik ahli panel badan pemantau bebas SPRM

0
15

CYBERJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengumumkan pelantikan tujuh ahli panel badan pemantau bebas suruhanjaya tersebut.

Menurut SPRM dalam satu kenyataan, dua daripada mereka adalah lantikan semula sebagai ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) manakala empat lagi sebagai ahli PPPR baharu, dan seorang lagi telah dilantik pada 1 April 2022.

Antara yang dilantik termasuk Pengasas dan Pengerusi Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, Ali Hassan Mohd Hassan (gambar).

Turut dilantik sebagai ahli PPPR ialah bekas ketua pengarah perkhidmatan awam (KPPA), Tan Sri Borhan Dolah; Naib Pengerusi Eksekutif Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din; belas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Dr. Asma Ismail; Pengarah Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya, Datuk Dr. Azizan Baharuddin; Penasihat Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod, dan Gabenor Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia (MICG), Datin Yasmin Ahmad Merican.

Surat cara dan pelantikan dalam badan bebas bagi memantau pelaksanaan fungsi serta operasi SPRM itu disampaikan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang, dengan turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Kenyataan tersebut turut berkata, sempena majlis penyampaian surat cara dan pelantikan itu berkata, semua mereka dilantik secara pentadbiran oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sebagai ahli panel badan pemantau bebas SPRM bagi tempoh dua tahun.

“Semua individu yang dilantik tersebut terdiri daripada golongan profesional serta pakar pelbagai bidang untuk mewakili masyarakat bagi memantau pelaksanaan fungsi dan operasi SPRM.

“Tempoh pelantikan ahli PPPR lantikan semula dan baharu ini berkuat kuasa mulai 1 Julai 2022 hingga 30 Jun 2024,” menurut kenyataan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here