Pengguna SUKE dinasihat tidak berhenti di bahu jalan untuk bergambar

0
11

CYBERJAYA – Pengguna Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dinasihatkan supaya tidak berhenti di bahu jalan tanpa sebarang alasan kecemasan demi keselamatan diri sendiri dan pengguna lebuh raya lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS), Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, PROLINTAS menerusi anak syarikatnya Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd mengambil maklum terdapat segelintir pengguna lebuh raya yang teruja dan berhenti di laluan kecemasan untuk merakam pemandangan di beberapa lokasi di Lebuhraya SUKE yang baharu dibuka.

“Aspek keselamatan sentiasa diutamakan oleh PROLINTAS. Kami cukup berbesar hati dengan sokongan yang diberikan pengguna.

Namun, kami berharap semua pihak dapat menjaga aspek keselamatan di lebuh raya supaya tiada insiden tidak diingini berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, beberapa lokasi panas telah dikenal pasti oleh bahagian operasi Lebuhraya SUKE yang menjadi tumpuan pengguna di sepanjang jajaran lebuh raya.

Buat masa ini, kon keselamatan telah ditempatkan di lokasi berkenaan untuk membendung pengguna daripada berhenti tanpa alasan kecemasan.

“Unit Polis Bantuan PROLINTAS atau ‘peronda SUKE’ yang bertugas 24 jam juga melakukan rondaan dengan lebih kerap dan ditempatkan di lokasi-lokasi panas itu,” katanya lagi.

Mohammad Azlan berkata, papan tanda ‘Dilarang Berhenti Kecuali Kecemasan’ juga akan dipasang di kawasan dikenal pasti dalam masa terdekat dan mesej sama akan dipaparkan pada Sistem Mesej Pelbagai (VMS) di sepanjang lebuh raya sebagai peringatan kepada pengguna.

“Bahagian operasi Lebuhraya SUKE akan memastikan penyelenggaraan lebuh raya berada di tahap optimum selain akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan aliran trafik berjalan lancar.

“Di setiap satu kilometer Lebuhraya SUKE dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dengan 40 unit dipasang di sepanjang jajaran di kedua-dua hala. Bahagian operasi sentiasa memerhati pergerakan trafik dan menghubungi peronda SUKE untuk ke lokasi jika terdapat sebarang kecemasan atau gangguan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebuah Kawasan Rehat dan Rawat (RSA) akan dibangunkan berdekatan Persimpangan Tasik Tambahan agar pengguna boleh menikmati permandangan panorama Kuala Lumpur itu dengan selesa dan selamat pada masa akan datang.

Lebuh raya itu merekodkan kemalangan pertamanya pada Ahad, melibatkan penunggang motosikal dan kereta yang pemandunya berhenti di lorong kecemasan untuk merakam gambar persekitaran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here