Penyingkiran Selangor Piston dari STL tindakan kurang bijak dan tidak wajar – Pengurus Pasukan

0
406
Selangor Piston

CYBERJAYA – Tindakan penganjur Sepak Takraw League (STL) yang menggugurkan pasukan Selangor Piston dan Putrajaya Cyborg daripada liga berprestij itu pada musim hadapan berikutan kemelut antara Persatuan Sepak Takraw Malaysia dan Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (Mastaf) adalah tindakan kurang bijak.

Menurut Pengurus Selangor Piston, Syahril Mohd Rashid, tindakan itu bukan sahaja ‘membunuh’ moral pemain, malah menyebabkan peminat yang mula meminati sukan warisan negara itu menjauhinya.

“Setakat ini kita masih belum menerima sebarang berita rasmi daripada PSM berkenaan pengguguran Selangor Piston dan Putrajaya Cyborg. Kita hanya dapat tahu melalui laman sosial dan beberapa pasukan yang sudah merisik pemain kita serta surat yang dikeluarkan kepada negeri-negeri tertentu untuk beraksi secara play off dalam STL liga premier,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Kelmarin Putrajaya Cyborg mengesahkan digugurkan daripada menyertai liga STL susulan kemelut antara PSM dan Mastaf.

Dalam pada itu, Syahril tidak menafikan penyingkiran itu juga telah merencatkan persiapan pasukan tersebut secara keseluruhan.

“Keputusan berkenaan telah memberi kesan kepada pasukan Selangor Piston dan perancangan keseluruhan Selangor, untuk pengetahuan Selangor Piston bergerak secara bebas dan tidak bergantung kepada Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS).

“Kaitan kami dengan PSS juga secara tidak langsung yang mana persatuan hanya sebagai caretakers kepada kita. Bagi kami keputusan yang diambil penganjur dan PSM merupakan tindakan kurang bijak dan tidak wajar kerana atas satu sebab iaitu tidak berpuas hati dengan Presiden PSS, Datuk Markiman sehingga menyebabkan berlaku kemelut yang melanda sekarang,” ujarnya.

Syahril Mohd Rashid

Menyentuh mengenai masa hadapan pasukan itu, katanya, pasukan Selangor Piston tidak akan dibubarkan dan kekal seperti sedia kala.

Katanya, meskipun tidak menyertai kejohanan STL, pasukan itu akan tetap menyertai beberapa kejohanan lain dan membentuk pasukan Selangor supaya terus menjadi platform untuk anak muda tempatan menggilap bakat.

Sementara itu, beliau juga menggesa supaya kepimpinan kedua-dua persatuan itu berdamai dan membuang ego bagi mengembalikan kegemilangan sepak takraw negara.

Beliau berkata, pertelingkahan yang berlaku antara kedua-dua mereka hanya memberikan kesan buruk kepada sukan sepak takraw terutamanya dalam membentuk generasi pelapis.

“Saya bercakap dengan Presiden PSM dan Presiden PSS mengenai perkara ini supaya ia diselesaikan segera demi sepak takraw dalam negara, ia perlu ada kesefahaman kedua-dua pihak.

“Ketepikan kepentingan peribadi dan ego, itu yang kita harapkan terhadap kedua-dua badan ini supaya isu ini dapat diselesaikan secara mutlak bagi memastikan sukan sepak takraw tidak terpalit dengan isu kontroversi yang bukan-bukan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here