Perak FC buat kejutan, ikat Lim Teong Kim sebagai jurulatih baharu

0
23
Lim Teong Kim berjabat tangan bersama Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi selepas menandatangani kontrak bersama Perak FC.

CYBERJAYA – Pasukan Perak FC yang kini beraksi dalam Liga Premier membuat kejutan dengan melantik bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan bekas Pengarah Projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara Malaysia (NFDP), Lim Teong Kim sebagai jurulatihnya yang baharu pada musim hadapan.

Perkara itu disahkan dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pengurusan pasukan itu hari ini.

Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, sudah tiba masanya untuk PFC menyusun semula pasukan selepas kekalahan berterusan dalam tiga perlawanan terakhir Liga Perdana.

“Perak FC terpaksa menjalani tempoh peralihan, dan kami kini telah menyelesaikan semua masalah yang timbul. Tiada lagi alasan untuk musim depan kerana kami mempunyai masa yang cukup dan jurulatih terkemuka yang telah ditambah dalam senarai kami.

“Matlamat utama kami ialah menstabilkan kelab, untuk mengekalkan status kompetitif kami dengan pengambilan skuad baharu.

“Pandangan Teong Kim dalam pengurusan akar umbi dan pengendalian pemain muda sangat penting kepada Perak FC dalam proses membina semula pasukan mampan yang boleh bersaing untuk merebut kejuaraan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Teong Kim akan menandatangani kontrak selama dua tahun dengan Perak FC, di mana kelab itu mempunyai pilihan untuk memperbaharui kontrak selama setahun lagi.

Katanya, Teong Kim menyatakan bahawa beliau ingin membantu membawa perubahan struktur kepada cara kelab bola sepak dikendalikan di Malaysia.

Teong Kim mempunyai pengalaman melatih selama 12 tahun dengan juara Bundesliga 10 kali, pasukan Bayern Munich Bawah 19 tahun dan melatih pemain-pemain seperti Thomas Müller, David Alaba, Toni Kroos & Emre Can. Pengalaman beliau juga termasuk berkhidmat di Bologna FC, mengendalikan bakat seperti Nicola Sansone dan Roberto Soriano.

Di peringkat tempatan, beliau pernah memegang jawatan Pengarah Projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara pada 2013 dan kemudian pada 2016, dilantik sebagai Pengarah Akademi Mokhtar Dahari.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here