Perbincangan tarikh PRU-15 akan dibawa ke Mesyuarat Kabinet Rabu ini

0
12
Ismail Sabri Yaakob ketika merasmikan Majlis Pelancaran Dasar Tenaga Negara (2022-2040) di Putrajaya, di sini hari ini.

PUTRAJAYA – Penentuan tarikh untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) mungkin akan dibincangkan di mesyuarat Kabinet pada Rabu ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perbincangan mengenai tarikh itu juga mungkin dibincang bersama pemimpin parti-parti lain dalam Perikatan Nasional lebih awal daripada perbincangan dengan pemimpin ‘Top-5’ UMNO.

“Saya akan bawa dalam Kabinet juga. Apa yang disebutkan oleh semua pihak. Kalau Tan Sri Muhyiddin kata nak PRU-15 cepat, tidak kira sebab, kita akan bincang dalam Kabinet kerana ada wakil (parti) dalam Kabinet. Ada Bersatu, GPS (Gabungan Parti Sarawak) dan UMNO.

“Kita akan bawa dalam mesyuarat Kabinet. Secepat mungkin, mungkin lebih mendahului daripada Top 5.

“Hari Rabu ini akan ada mesyuarat Kabinet sebelum saya berlepas ke Amerika sebab ada (Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu). Mungkin saya bawa dalam mesyuarat Kabinet minggu ini,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Dasar Tenaga Negara (2022-2040) di Putrajaya, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, perbincangan dengan pemimpin Top-5 biasanya akan diadakan sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi (MT).

“Biasanya kalau MT malam, petang tu akan dibincang bersama Top-5. MT akan diadakan pada malam 30 September. Kita bincang semua perkara berkaitan,” katanya.

Ditanya mengenai kesesuaian mengadakan pilihan raya semasa musim banjir, Ismail Sabri berkata, perkara itu juga akan dibincangkan dengan teliti bersama parti.

Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu sanggup meredah banjir untuk berkempen sekiranya Perdana Menteri mengumumkan pembubaran Parlimen, termasuk pada musim banjir.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here