PH musuh Pas, bukannya UMNO – Takiyuddin

0
18

CYBERJAYA – Pas sekali lagi menekankan musuh parti itu adalah Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya, dan akan terus menjalin kerjasama dengan UMNO sebagai Rakan Ta’awun.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, mereka menolak sebarang ketetapan atau pendirian yang menggambarkan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) nanti.

“Pas seterusnya yakin gabungan atas konsep Penyatuan Ummah dan Perpaduan Nasional sahajalah mampu menjadi formula terbaik dan berkesan serta diterima oleh majoriti pengundi ke arah mewujudkan sebuah Kerajaan Prihatin Rakyat dengan langkah penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada seluruh rakyat di samping pada masa yang sama memberikan perhatian khusus kepada aspek semak dan imbang (check and balance),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ini kali kedua parti pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang itu mengusulkan rakan ta’awun (rakan kerjasama) mereka.

Pada 11 September lalu, kenyataan sama dikeluarkan Takiyuddin dengan berkata Pas kekal menganggap UMNO dan semua pihak yang bernaung di bawah gagasan Penyatuan Ummah sebagai rakan ta’awun (rakan kerjasama) terutama dalam membina negara yang baik dan diredai Tuhan.

Ia turut disokong timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang berkata, penyatuan merupakan paksi kepada perpaduan nasional terutamanya bagi orang Melayu serta kepelbagaian kaum di negara ini.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, parti itu akan terus berusaha dengan pelbagai pendekatan antaranya menyeru seboleh mungkin parti-parti yang mewujudkan Kerajaan Persekutuan sekarang dapat terus bekerjasama menghadapi PRU-15 nanti seterusnya membentuk sebuah kerajaan baru yang lebih mantap dan berautoriti.

“Pas amat optimis hanya dengan perpaduan dan kerjasama politik di antara parti-parti utama Melayu-Islam sahaja akan dapat mengelakkan pertandingan lebih dari dua penjuru dalam PRU15 nanti.

“Ini bukan sahaja dapat menjamin terbentuknya sebuah pemerintahan yang adil dan saksama kepada semua rakyat merentasi kaum, agama, bangsa dan budaya,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here