Pindaan Akta Audit 1957 (Akta 62) selesai 

0
15
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri

PUTRAJAYA – Pindaan Akta Audit 1957 (Akta 62) oleh Jabatan Audit Negara (JAN) selesai dipinda dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) hari ini.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, pindaan tersebut adalah bertujuan untuk memperkasa profesionalisme dan menjamin kebebasan peranan Ketua Audit Negara (KAN)

“Pindaan ini adalah melibatkan peruntukan akta bagi menghalang penglibatan KAN dalam aktiviti atau jawatankuasa perkhidmatan Persekutuan atau perkhidmatan Negeri. Penglibatan KAN dibolehkan dalam jawatankuasa di peringkat dasar.

“Bidang tugas KAN diperluaskan bagi mengaudit mana-mana badan lain termasuk syarikat yang mempunyai kepentingan Kerajaan, tertakluk kepada budi bicaranya,” katanya.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh beliau itu juga, turut bersetuju agar Ketua Pegawai Eksekutif daripada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) termasuk ahli Badan Kehakiman perlu mengisytiharkan harta kepada pihak SPRM.

Kata Ismail Sabri, perincian kod etika baharu ini akan dibentangkan semula oleh SPRM dalam mesyuarat JKKMAR akan datang.

Selain itu, pindaan dan penambahbaikan Kod Etika Bagi Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen sedia ada akan dilaksanakan.

“Satu kod etika baharu akan turut diperkenalkan untuk Ahli Parlimen dalam Akta 347 dengan mengambil kira pengekalan prinsip pengasingan kuasa badan eksekutif dan legislatif,”ujarnya lagi.

Dalam pada itu, mesyuarat turut dimaklumkan mengenai status terkini berkaitan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik. RUU ini akan dikawal selia oleh sebuah entiti bebas yang dikenali sebagai Pengawal Selia Sumbangan Politik pada peringkat Persekutuan dan Negeri.

“Pandangan daripada pihak-pihak berkepentingan termasuk parti-parti politik turut diambil kira berkaitan perincian RUU tersebut sebelum dibentang untuk bacaan pertama semasa Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat akan datang,”katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here