Pinjaman PTPTN dinaikkan dinaikkan 100 peratus bagi golongan M40 kategori M1 – PM

0
18
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada golongan M40 kategori M1 dinaikkan daripada 75 peratus kepada 100 peratus.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bersetuju untuk menyediakan kemudahan pinjaman komputer riba kepada peminjam PTPTN golongan M40, sebagai antara usaha kerajaan menjaga kepentingan mahasiswa Keluarga Malaysia.

“Percayalah, kerajaan sentiasa menjaga kepentingan mahasiswa dan mahasiswi, …banyak lagi yang akan kita umumkan demi kepentingan mahasiswa dan mahasiswi sekalian,” katanya memetik laporan BH Online hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Kemuncak Semarak Patriotik Institusi Pengajian Tinggi 2022 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), hari ini.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata beliau dimaklumkan oleh Noraini bahawa Jualan Murah Keluarga Malaysia akan diadakan di setiap institut pengajian tinggi (IPT) mulai Oktober bagi menangani isu peningkatan kos sara hidup dalam kalangan mahasiswa.

Sementara itu, Ismail Sabri meminta mahasiswa supaya terus berjuang mengekalkan jati diri, budaya dan bahasa dengan memainkan peranan penting sebagai pembina bangsa dan memaknakan kemerdekaan sepertimana pembina bangsa terdahulu memperjuangkan kemerdekaan.

Perdana Menteri turut menyeru mahasiswa Keluarga Malaysia agar memberikan komitmen dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai satu cara untuk menyatakan kecintaan kepada negara.

“Saya juga menggunakan bahasa Melayu ketika berucap di pentas antarabangsa.

“Baru-baru ini, pengarah filem tersohor negara U-Wei Saari memecahkan tradisi Festival Filem Antarabangsa di Moscow (Russia) apabila menyampaikan ucapan dan mengumumkan nama pemenang menggunakan bahasa Melayu,” katanya.

Perdana Menteri berkata, dalam konteks pendidikan tinggi, banyak cara dan perkara boleh dilakukan dalam menzahirkan semangat patriotik dan perjuangan terpenting mahasiswa ketika ini adalah kekal menjadi benteng teguh dalam memastikan hubungan Keluarga Malaysia yang majmuk terus erat.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata semangat mencintai negara dalam kalangan mahasiswa hendaklah terus digilap dan dipupuk serta dipertahankan menerusi pelbagai wahana berbentuk kenegaraan.

“Saya percaya mata pelajaran umum atau MPU yang dilaksanakan di IPT mampu memperteguh penghayatan mahasiswa sekalian kepada etika dan peradaban masyarakat pelbagai etnik di Malaysia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here