PM cipta sejarah berucap dalam bahasa Melayu di Perhimpunan PBB

0
264
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tampil segak dengan memakai baju Melayu dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hari ini.

NEW YORK – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencipta sejarah sebagai pemimpin tertinggi Malaysia yang pertama berucap menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hari ini.

Beliau yang tampil segak berbaju Melayu hitam mencuri tumpuan delegasi lain sebaik melangkah masuk ke dewan utama.

Turut mencuri tumpuan apabila seluruh delegasi negara termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah juga memakai baju kebangsaan dan batik Malaysia.

Dalam ucapannya, beliau berkata, Malaysia melahirkan rasa kecewa dengan pendudukan secara kejam oleh Israel di wilayah Palestin yang berlarutan sejak sekian lama.

“Rakyat Palestin terus hidup dalam belenggu dasar-dasar diskriminasi Israel. Penempatan haram semakin berleluasa.

“Ini bertentangan dengan undang-undang antarabangsa, termasuk resolusi 2334 Majlis Keselamatan. Hak paling asas rakyat Palestin terus dinafikan.

“Justeru, Malaysia berpandangan kuasa-kuasa besar perlu bersikap jujur dalam menyelesaikan isu kekejaman yang dihadapi rakyat Palestin,” katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menggesa supaya satu pendirian tegas harus diambil oleh PBB, bagi memastikan krisis yang telah berlarutan di bumi Palestin sejak sekian lama dapat diselesaikan segera.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kebimbangan dengan krisis politik yang berlaku di Myanmar yang juga merupakan anggota ASEAN.

Katanya, paling mengecewakan apabila Majlis Keselamatan tidak mengambil sebarang tindakan serius dalam menangani situasi yang tercetus sejak rampasan kuasa pada bulan Februari 2021.

“Malaysia kecewa tiada kemajuan bermakna dalam pelaksanaan ‘Kesepakatan Lima Perkara’ ASEAN terutamanya oleh pihak junta Myanmar.

“Dalam acuannya sekarang, ‘Kesepakatan Lima Perkara’ ASEAN ini tidak boleh diteruskan lagi. Justeru, kesepakatan ini perlu diberi nafas baharu dan diperhalusi berdasarkan rangka kerja, jangka masa dan matlamat akhir yang lebih jelas. Sesungguhnya, yang lebih penting ialah aspirasi rakyat Myanmar perlu dipenuhi.

“Krisis politik di Myanmar juga telah memburukkan lagi keadaan berjuta-juta pelarian Myanmar termasuklah pelarian etnik Rohingya. Walaupun Malaysia bukan negara yang menandatangani Konvensyen Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967, Malaysia, atas dasar kemanusiaan, menerima hampir 200,000 pelarian Rohingya,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here