PM ucap takziah pemergian Samy Vellu, sifatkan mendiang sebagai pejuang dan bapa penyatuan kaum India

0
14
Ucapan takziah daripada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merakamkan ucapan takziah di atas pemergian bekas Presiden MIC, Tun S. Samy Vellu.

Perdana Menteri berkata, sepanjang berkhidmat mendiang banyak memainkan peranan dalam pembangunan rangkaian jalan raya dalam negara.

“Pagi ini saya menerima berita sedih tentang pemergian Tun S. Samy Vellu, mantan Presiden MIC dan juga bekas menteri Kabinet yang paling lama berkhidmat bermula sebagai Menteri Kerja Raya pada 1979-1989 dan 1995-2008. Mendiang juga menjadi Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos dari 1989-1995.

“Mendiang banyak memainkan peranan dalam pembangunan rangkaian jalan raya dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri juga menyifatkan mendiang sebagai pejuang dan bapa penyatuan kaum India serta menjadi mentor kepada pemimpin MIC sepanjang dan selepas kepemimpinannya.

Katanya, mendiang juga banyak memberikan sumbangan yang ditaburkannya kepada negara dan masyarakat India seperti penubuhan MIED, Universiti Aimst dan Kolej Tafe yang membantu meningkatkan kehidupan masyarakat itu di negara ini.

“Saya mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang. Jasa beliau akan terus dikenang,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here