PM umum penubuhan Pusat SDG Negara

0
14
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

PUTRAJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan penubuhan Pusat Majlis Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Negara bagi memperkasa dan mempergiat program-program serta memantau kemajuan SDG negara.

Perdana Menteri berkata, pusat itu akan diletakkan di bawah kelolaan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

“Agenda pembangunan mampan ini memerlukan penglibatan dan usaha gigih yang menyeluruh serta inklusif daripada semua pihak agar tahap kesedaran seluruh Keluarga Malaysia di peringkat akar umbi dan syarikatsyarikat swasta dipertingkatkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat SDG Negara buat julung kali sejak penubuhannya pada tahun 2016.

Meyuarat itu turut dihadiri oleh ahli-ahli majlis yang merangkumi Menterimenteri Besar dan Ketua-ketua Menteri, Menteri-menteri Kanan dan Menteri-menteri Persekutuan, Ketua-ketua Setiausaha dan Ketua-ketua Jabatan, Ketua-ketua Kluster Jawatankuasa Kerja SDG, dan beberapa Ahli Parlimen.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, SDG dilaksanakan dalam tiga fasa mengikut rancangan pembangunan negara, bermula dengan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11), 2016-2020 dan kini sedang dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), 2021-2025 serta akan diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13), 2025-2030.

Mengulas lanjut, katanya, mesyuarat itu juga bersetuju dengan penyediaan Laporan Semakan Tempatan (VLR) di peringkat bandaran dan daerah oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kerajaan-kerajaan negeri dengan sekurang-kurangnya satu laporan akan dihasilkan oleh setiap negeri.

“Setiap negeri digalakkan menyediakan laporan ini sebagai panduan dalam memantau kemajuan Malaysia ke arah pertumbuhan pembangunan negara bagi mengimbangi aspek sosial, alam sekitar dan ekonomi.

“Selain itu, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) diminta supaya segera memuktamadkan rangka kerja pasaran karbon pada penghujung tahun ini bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara rendah karbon.

“Kerajaan komited untuk mencapai Agenda 2030 dan memperkukuhkan tindakan mencapai 17 SDG bagi menjadi negara mampan menjelang 2030 dengan melibatkan seluruh Keluarga Malaysia dalam arus pembangunan sosioekonomi negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here