Polis cari kereta terlibat langgar lari pegawai imigresen

0
11

SUNGAI PETANI – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan pemandu sebuah Proton Wira Aeroback yang dipercayai terlibat dalam kejadian langgar lari sehingga menyebabkan kematian seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, dalam kejadian di Kilometer 83.4 Lebuhraya Utara Selatan itu, pemandu kereta berkenaan dipercayai melarikan diri daripada lokasi kejadian.

Tambahnya, pihaknya sedang mengesan kenderaan berwarna perak dengan nombor pendaftaran TAC 6688 yang berjaya dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Plaza Tol Gurun.

“Setakat ini, pemandunya belum tampil membuat laporan polis berhubung kemalangan itu dan kita sedang meneliti serta menyemak nombor pendaftaran kereta untuk mengetahui sama ada pemiliknya sendiri yang memandu atau individu lain menggunakan kenderaan itu ketika kejadian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan pemandu dan kenderaan itu diminta menghubungi Inspektor Juzaili Ismail di talian 019-5586668 atau Pejabat Pertanyaan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuala Muda di talian 04-4232222 untuk membantu siasatan,” katanya.

Dalam kejadian pada pukul 9.30 pagi semalam, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Muhammad Nizam Shamsudin, 46, meninggal dunia, manakala Timbalan Penolong Pengarah Kanan Imigresen Zaili Nizam Muhammad, 43, patah kaki kanan dan masih mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here