Polis Kelantan mohon hentikan sebar maklumat palsu kes culik 

0
27
Gambar hiasan.

KOTA BHARU – Polis Kelantan memohon kerjasama rakyat di negeri itu khususnya warga maya supaya menghentikan penyebaran maklumat palsu berhubung dakwaan kes culik yang tular baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, dakwaan cubaan membawa lari atau menculik kanak kanak di perkarangan sekolah yang berlegar-legar di laman media sosial sejak kebelakangan ini, adalah tidak tepat.

“Beberapa hantaran yang dimuat naik dalam media sosial dan ditularkan mendorong PDRM khususnya kontinjen Kelantan menjalankan siasatan.

“Dakwaan yang mengaitkan individu mencurigakan berada di perkarangan sekolah atau tempat-tempat tertentu juga disiasat oleh pihak polis, namun kesemua dakwaan berkenaan tidak menjurus kepada situasi cubaan membawa lari atau menculik kanak kanak,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Katanya, Polis Kelantan pada 22 dan 26 September lalu sudah menjalankan siasatan terhadap dakwaan cubaan menculik pelajar sekolah rendah masing masing di Gua Musang, Kuala Krai dan Pasir Puteh.

“Hasil siasatan mendapati individu yang dikatakan berada di kawasan sekolah berkenaan tidak mempunyai niat untuk menculik, sebaliknya mempunyai urusan lain.

“Apabila kita jalankan siasatan, rupa-rupanya individu yang dikatakan cuba menculik itu kakitangan sebuah syarikat perkhidmatan penapis air yang mempunyai urusannya untuk membuat kutipan bulanan dari pelanggan di situ,” katanya.

Tambahnya lagi, kejadian sama turut berlaku di kawasan Masjid Muhammadi, di sini pada awal September lalu sehingga seorang lelaki kurang siuman menjadi mangsa keadaan apabila dibelasah oleh orang ramai kerana didakwa cuba menculik kanak kanak.

“Saya tegaskan di sini, mereka yang terbabit menyebarkan maklumat tidak betul salah salah dan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan (mendatangkan kegusaran awam) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Polis memohon orang ramai supaya merujuk sesuatu kejadian dan dakwaan itu melalui sumber sahih supaya tidak menimbulkan kekeliruan,” ujarnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here