Polis nafi keluar amaran aktiviti jenayah menggunakan kanak-kanak jalanan

0
2
Kenyataan media PDRM

CYBERJAYA – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menafikan kesahihan mesej “Notis amaran dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan balai polis seluruh negara” yang mendakwa bahawa kanak-kanak jalanan yang memegang kertas tertulis alamat rumah digunakan sebagai taktik meraih bantuan.

Menurut Ketua Komunikasi Korporat PDRM, ACP Skandaguru Anandan, mesej tular tersebut adalah palsu dan tidak dikeluarkan oleh KDN mahupun PDRM.

“Notis tersebut mendakwa bahawa kanak-kanak jalanan yang memegang kertas tertulis alamat rumah digunakan sebagai taktik meraih bantuan bagi dihantar pulang dan mana-mana individu yang membantu menghantar kanak-kanak ke alamat yang tertera akan dibunuh, organ dicuri dan dirogol.

“PDRM mengesahkan bahawa mesej tular tersebut adalah palsu dan tidak dikeluarkan oleh KDN mahupun PDRM di samping tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan insiden jenayah sepertimana ditularkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai disaran agar membawa kanak-kanak yang dijumpai terus ke balai polis yang berdekatan untuk tindakan lanjut oleh pihak berkuasa.

Katanya, masyarakat juga dinasihatkan agar tidak mudah mempercayai sebarang mesej yang tidak berasas dan sentiasa merujuk sumber rasmi bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan terkini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here