Polis tahan enam individu disyaki terlibat insiden rusuhan bersenjata di Kuala Selangor

0
64

CYBERJAYA – Polis mengesahkan telah menahan enam orang individu yang disyaki terlibat dalam insiden rusuhan bersenjata di Taman Melor, Bestari Jaya, Kuala Selangor semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli berkata, penahanan itu dibuat susulan satu sklip video memaparkan insiden rusuhan yang tular di media sosial sehingga mencetuskan kebimbangan awam.

Dalam kejadian semalam, polis telah mendapat maklumat berlaku pergaduhan sekumpulan lelaki di kawasan perumahan terbabit.

“Bertindak daripada maklumat tersebut, polis telah menjalankan siasatan sebelum bertindak pantas melakukan serbuan yang kemudian berjaya membawa kepada tangkapan enam lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 35 tahun yang disyaki terlibat dalam rusuhan itu mengganggu ketenteraman awam.

“Kesemua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Selangor pagi tadi untuk permohonan perintah reman dan permohonan polis diluluskan..

“Kesemua suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga 8 September ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut dalam kes tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ramli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda merbahaya yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat jika disabitkan kesalahannya,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here