Prof Asma dilantik sebagai Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi Negara yang baharu 

0
16
Profesor Emerita Datuk Dr Asma Ismail.

PUTRAJAYA – Profesor Emerita Datuk Dr Asma Ismail dilantik sebagai Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Negara berkuat kuasa 23 Jun lalu selepas dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, beliau akan menjawat jawatan tersebut sehingga tamat penggal beliau sebagai Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM) pada 27 Disember 2022.

“Penasihat STI Negara bertanggungjawab mengemukakan dasar, strategi, prosedur dan langkah-langkah bagi meningkatkan pencapaian dan kelestarian negara dalam bidang STI.

“Beliau turut berperanan untuk mengukuhkan hubungan di antara Kerajaan dan saintis serta organisasi sains di dalam mahupun luar negara,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, lantikan tersebut adalah satu usaha untuk mengukuhkan tadbir urus kerajaan dalam bidang berkenaan ke arah merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.

“Pengalaman beliau selama lebih 30 tahun dalam bidang sains sehingga ke peringkat antarabangsa, bersama sokongan jaringan pakar ASM akan menjadi sumber rujukan kerajaan dalam menyelesaikan pelbagai isu-isu semasa dengan lebih berkesan untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

Untuk rekod, Asma telah mencipta sejarah sebagai wanita pertama yang menjawat beberapa jawatan penting.

Antara jawatan tersebut termasuklah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (2014-2016), Pengerusi Majlis Agensi Kelayakan Malaysia (2019-2021), Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada tahun 2012 dan Universiti Sains Malaysia (USM) dari tahun 2016 hingga 2019.

Beliau juga telah menerima Anugerah Tokoh Akademik Negara ke-14 dan dilantik sebagai ahli majlis Inter Academy Panel (IAP) berpusat di Itali yang dianggotai oleh 102 buah negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here