Projek tembatan banjir di Baling diluluskan, elak berulang isu banjir

0
10
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir Majlis Doa Selamat sempena Sambutan 65 Tahun Kemerdekaan serta Bencana Banjir Daerah Baling di Dataran Keluarga Malaysia, Kampung Teluk Durian.

BALING – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan telah meluluskan projek tebatan banjir di seluruh daerah ini bagi memastikan masalah berkaitan banjir dapat diatasi secara menyeluruh.

Perdana Menteri berkata, ini kerana kawasan Baling tidak termasuk dalam kawasan yang sering dilanda bencana alam itu.

“Kawasan Baling tidak termasuk dalam kawasan yang sering dilanda banjir besar seperti beberapa kawasan lain terutama di Pahang.

“Tetapi dari segi perancangan memang ada (rancangan untuk bina empangan sabo di kaki Gunung Inas) tetapi saya akan ‘check’ dengan KASA, kerana mesyuarat sebelum ini ada perancangan untuk membina dua empangan sabo di Baling, jadi saya akan ‘check’ balik keputusan itu.

“Pembinaan itu juga akan melibatkan kajian berdasarkan keutamaan banjir tahunan, dan sebenarnya projek tebatan banjir di seluruh Baling, kerajaan sudah luluskan, kontraktor pun sudah dilantik.

“Mungkin tebatan banjir ini boleh selesaikan secara keseluruhan masalah banjir di Baling dan tak perlu ‘sabo dam’,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Doa Selamat sempena Sambutan 65 Tahun Kemerdekaan serta Bencana Banjir Daerah Baling di Dataran Keluarga Malaysia, Kampung Teluk Durian pada Khamis.

Terdahulu, dalam majlis yang sama, Perdana Menteri menyarankan kerajaan negeri Kedah untuk memberi perhatian khusus dan mengambil langkah sewajarnya bagi menangani kerisuan penduduk di kawasan Kampung Iboi berhubung kewujudan tiga kolam takungan di puncak Gunung Inas.

“Isu (melibatkan) kolam itu perlu diselesaikan (dalam waktu terdekat), kalau tidak (apabila) kita bina rumah (untuk penduduk Kampung Iboi yang berada di sepanjang sungai), (dan selepas) siap rumah, kalau kolam itu pecah, (saya) bimbang berlaku banjir yang lebih teruk dari yang pernah berlaku.

“Saya akan minta kerajaan negeri untuk ambil tindakan yang sewajarnya, macam mana Kerajaan Kedah mahu laksanakan, itu terserah kepada kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, memandangkan ia di bawah bidang kuasa mereka.

“Demi keselamatan penduduk, saya akan bincang segera dengan MB supaya ambil tindakan segera,” katanya.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi menegaskan tiga kolam takungan air di puncak Gunung Inas, tidak boleh dirobohkan sesuka hati kerana ia mempunyai pemilik yang sah.

Beliau berkata, tindakan meroboh kolam itu juga tidak perlu kerana berdasarkan laporan Pasukan Khas Siasatan Bencana Tragedi Baling, ia dilihat tidak mendatangkan bahaya kepada penduduk di kawasan berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here