PRU15: Anwar beri bayangan tidak bertanding di PD, tapi di kerusi ‘pengkhianat’ PKR

0
27
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Port Dickson dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Anwar berkata, kemungkinan besar beliau akan bertanding di kerusi Parlimen yang disandang oleh ‘pengkhianat’ PKR dan Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, Ketua Pembangkang itu tidak menamakan kawasan kerusi Parlimen yang menjadi perhatiannya.

“Secara jujur saya belum ada pilihan lagi (Parlimen) untuk ditandingi tapi dalam pertimbangan adalah kerusi pengkhianat (PKR dan PH), misalnya jika parti kata bertanding di Gombak (Parlimen) saya bertanding di situ.

“Kita (PH) boleh masuk kubu kuat UMNO, tetapi saya harus memilih kerusi disandang pengkhianat. Mesejnya adalah pengkhianatan dalam politik (tidak boleh diterima),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab pada program Sembang Kencang KLS @ Anwar Ibrahim anjuran Kelab Wartawan Kuala Lumpur & Selangor (KLS), di sini hari ini.

Anwar berkata, ketika ini sentimen dan sokongan yang diterimanya di Port Dickson kuat dan lebih baik berbanding ketika bertanding pada Pilihan Raya Kecil Port Dickson pada Oktober 2018.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang bertanding atas tiket PKR pada PRU14, bertindak keluar parti dan menyertai BERSATU.

Turut mengikut jejak Azmin ialah bekas naib presiden PKR Zuraida Kamaruddin (Ampang), Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here