Putera Mahkota Mohammed Salman dilantik PM Arab Saudi 

0
31
Putera Mahkota Mohammed Salman (kiri), Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

JEDDAH – Putera Mahkota Mohammed Salman dilantik sebagai Perdana Menteri Arab Saudi selepas bapanya, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud mengeluarkan Dekri Diraja bagi lantikan tersebut semalam.

Bagaimanapun, satu Dekri Diraja memperuntukkan mesyuarat Kabinet mingguan yang dihadiri Raja Salman, akan dipengerusikan baginda.

Pelantikan Putera Mahkota itu dilaksanakan dengan membuat pengecualian terhadap peruntukan Perkara 56 Undang-Undang Asas Pentadbiran Arab Saudi dan peruntukan berkaitan dalam Undang-Undang Majlis Menteri.

Mohammed yang sebelum ini dilantik sebagai Menteri Pertahanan telah diangkat sebagai Putera Mahkota pada 2017 bagi menggantikan bapanya sebagai raja.

Jawatan Menteri Pertahanan kini diambil alih adiknya, Khalid bin Salman yang sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Pertahanan, menurut dekri Raja Salman yang diterbitkan oleh agensi akhbar rasmi Arab Saudi.

Sejak bertahun-tahun lamanya, Arab Saudi berusaha menghentikan spekulasi berhubung kesihatan Raja Salman yang telah memerintah negara pengeksport terbesar minyak dunia sejak 2015.

Pada 2017, kerajaan Saudi menolak laporan dan spekulasi memuncak bahawa raja berusia 86 tahun itu merancang untuk turun takhta.

Raja Salman telah dimasukkan ke hospital dua kali tahun ini, yang terbaharu selama seminggu pada Mei lalu susulan pemeriksaan perubatan termasuk kolonoskopi

Untuk rekod, jawatan Perdana Menteri Arab Saudi secara tradisinya dipegang oleh Raja.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here