Ramai pelajar tidak makan pagi, sebab ‘takut’ ke tandas

0
37
Dr. Radzi Jidin (kanan) pada Program Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan Sektor Perancangan dan Pembangunan di Dewan Perdana Putra Sekolah Sultan Alam Shah, di sini hari ini.

PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Dr. Radzi Jidin hari ini mendedahkan menerima banyak aduan mengenai keengganan murid untuk mengambil sarapan pagi semata-mata kerana ‘takut’ untuk ke tandas sekolah.

Hal itu menurutnya disebabkan keadaan tandas sekolah yang terlalu kotor dan berbau busuk.

“Ada kes bila kita tanya murid kenapa tak makan pagi, jawapannya nanti nak kena pergi ke tandas tapi tandas sekolah kotor.

“Jadi ada yang buat pilihan untuk makan selepas balik dari sekolah.

“Kes-kes disebabkan isu tandas tidak kondusif ini bukan perkara baharu tapi sudah berpuluh-puluh tahun berlaku,” katanya selepas menyempurnakan Program Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan Sektor Perancangan dan Pembangunan di Dewan Perdana Putra Sekolah Sultan Alam Shah, di sini hari ini.

Dr. Radzi berkata demikian sebagai sebahagian daripada pengalamannya bertemu murid dan guru dalam proses menjayakan pelan transformasi pendidikan negara.

Katanya, banyak perkara dan aspek yang memerlukan kajian semula termasuk segi reka bentuk bangunan sekolah untuk memastikan setiap sen perbelanjaan yang dikeluarkan kerajaan dioptimumkan.

“Apabila kita bercakap pasal transformasi kita juga melihat reka bentuk tandas supaya pengudaraan lebih cekap.

“Walaupun tandas negara kita konsep tandas basah, ianya akan lebih baik sekiranya konsep pengudaraan dan reka bentuk yang lebih sesuai di ambil kira,” katanya.

Beliau berkata, dalam memastikan keberkesanan transformasi pendidikan, KPM memberi tumpuan kepada dua perkara utama iaitu dalam konteks pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur sekolah.

Dalam konteks pembinaan, beliau memberi penekanan kepada pembangunan sekolah di kawasan berkepadatan penduduk tinggi.

“Ada kawasan yang mana peningkatan jumlah penduduk berlaku terlalu cepat sehingga tidak cukup untuk menampung jumlah pelajar.

“Misalnya di Klang yang mempunyai sekolah-sekolah yang amat padat. Begitu juga di Johor.

“Jadi sekarang kita ambil pendakatan supaya tidak ada keadaan di mana berlaku peningkatan penduduk tetapi sekolah tidak dibina,” katanya.

Sementara itu, dalam konteks penyelenggaraan, KPM turut mengklasifikasikan tahap kebolehan menduduki bangunan pada skala 1 hingga 7.

“Kita di peringkat nak selesaikan bangunan pada skala tujuh yang disahkan tidak selamat oleh Jabatan Kerja Raya dan bomba.

“Selepas ini juga kita akan meneliti keperluan pembinaan seperti kuaters guru di kawasan yang berpotensi tidak mendapat sambutan atas sebab-sebab tertentu,” katanya.

Sementara itu mengulas keperluan bangunan baharu di sekolah sedia ada, Radzi berkata, kementerian mempunyai pendekatan yang berbeza untuk menampung pertambahan pelajar.

Katanya, dalam sesetengah kes, pertambahan pelajar di sesebuah sekolah berlaku kerana sekolah berkenaan ‘dikategorikan’ sebagai sekolah yang berprestasi lebih baik oleh ibu bapa.

“Kita ada terima permohonan bangunan baru tapi bila dikaji sekolah lain dalam radius yang sama, ada sekolah yang tidak padat kerana tidak menjadi tumpuan.

“Jadi daripada kita bina aset baharu atau biarkan akses kemudahan yang sedia ada di sekolah-sekolah itu tidak dioptimumkan, kita ambil pendekatan cara lain.

“Iaitu dengan melakukan penempatan guru besar atau guru-guru berprestasi ke sekolah berkenaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here