Rafizi lancar petisyen bantah PRU diadakan ketika musim banjir 

0
19
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli melancarkan petisyen membantah pilihan raya umum (PRU) diadakan pada musim tengkujuh.

Menurut Rafizi, petisyen tersebut dilancarkan susulan UMNO meningkatkan tekanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan PRU ke-15 secepat mungkin.

Katanya, jika Parlimen dibubarkan sebulan dari sekarang, pilihan raya akan diadakan pada musim tengkujuh.

“PRU-15 semasa banjir bermakna lebih RM1 billion akan digunakan untuk menguruskan pilihan raya sedangkan dana rakyat itu lebih baik disalurkan kepada usaha menangani bencana.

“Ia juga bermakna beratus ribu penjawat awam perlu bertugas untuk mengendalikan pilihanraya sedangkan mereka wajar bersama-sama sukarelawan membantu mangsa banjir.

“Hanya suara rakyat yang dapat menghantar isyarat yang jelas bahawa rakyat mahu ahli politik menumpukan perhatian menghadapi bencana banjir, bukannya mengejar jawatan-jawatan politik melalui pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam pada itu, Rafizi juga menyeru orang ramai menandatangani petisyen itu dan menyebarkannya ke saluran masing-masing.

Tambah Bekas ahli parlimen Pandan itu lagi, laporan ramalan cuaca meramalkan banjir akan menjadi lebih teruk tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana banjir kilat telah berlaku di tempat-tempat yang sebelum ini tidak mengalami banjir teruk.

“Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendabik dada bahawa Umno sanggup meredah banjir demi PRU15 yang lebih awal.

“Semua parti politik akan bersedia secukupnya apabila PRU15 dipanggil.
Isunya bukanlah soal parti-parti politik gah berkempen walaupun menghadapi banjir.

“Isu pokok ialah semua pihak perlu menggembleng tenaga untuk menghadapi banjir dan semua perkara yang boleh ditangguhkan atau dielakkan, wajarlah ditangguhkan dahulu,” katanya.

Tedahulu, Kenyataan Zahid pada 17 Sept bahawa Barisan Nasional (BN) bersedia untuk berkempen bagi PRU15 walaupun ia diadakan pada musim tengkujuh telah mendapat tentangan hebat daripada blok pembangkang.

Bagaimanapun, Zahid mendakwa banjir itu adalah “naratif dan mitos” yang diputar belit oleh pembangkang bagi mengelak
PRU15 diadakan tidak lama lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here