RM204,322 dikumpul untuk derma keluarga mangsa rempuhan SUV di Klang Jumaat lalu

0
14
Tangkap layar akaun TikTok foundermisi yang menunjukkan jumlah kutipan kilat untuk membantu keluarga mangsa rider dirempuh SUV Nissan X-Trail di Klang, Selangor, minggu lalu.

CYBERJAYA – Keprihatinan dan sikap pemurah rakyat Malaysia sekali lagi terbukti apabila lebih daripada RM200,000 berjaya dikumpul untuk disumbang kepada balu dan keluarga penghantar makanan yang maut dan parah dalam kemalangan di Klang, baru-baru ini.

Kutipan sumbangan itu dilancarkan oleh pengendali Tik Tok Founder Misi, Nor Ahmad Faiz Mohd Adli, 31, bagi membantu meringankan beban isteri kedua-dua mangsa yang dirempuh kenderaan SUV di Jalan Meru-Jalan Haji Sirat.

Sumbangan secara atas talian itu dilakukan melalui pautan misirakyat.com/bantu/rider yang membolehkan orang ramai memindahkan wang dan melihat sendiri transaksi secara nyata.

Nor Ahmad berkata, tabung yang dilancarkan baru-baru ini itu menerima jumlah derma sebanyak RM204,322 daripada 13,299 transaksi atau penderma.

“Kesemua wang tersebut akan dibahagikan kepada dua bahagian untuk diagih kepada isteri dan keluarga mangsa.

“Bagi mangsa yang cedera parah, saya berikan 80 peratus kepada isterinya iaitu berjumlah RM80,728.80 manakala ibu bapa mangsa menerima 20 peratus iaitu RM20,432.20.

“Kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia, isterinya saya berikan RM51,080.50, ibu arwah pula RM51,080.50,” katanya dalam catatan video Tik Toknya.

Dalam kejadian Jumaat lalu, dua penunggang motosikal yang merupakan penghantar makanan dirempuh oleh dua kenderaan SUV ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Kemalangan mengorbankan Muhaimin Said yang baharu mendirikan rumah tangga manakala Muhammad Azrul, cedera parah dalam kejadian itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here