Rogol 2 anak, bapa dihukum penjara 428 tahun dan 240 sebatan

0
47

MELAKA – Seorang bapa dijatuhkan hukuman penjara selama 428 tahun dan 240 sebatan setelah didapati bersalah merogol dan melakukan seks luar tabii terhadap dua anak kandungnya sejak tujuh tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 56 tahun dijatuhi hukuman itu selepas mengekalkan pengakuan bersalah terhadap 28 pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan hakim Nariman Badruddin di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini hari ini.

Lelaki yang mempunyai dua isteri itu, bagaimanapun hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 45 tahun kerana hukuman berjalan secara berperingkat dan 24 sebatan kerana had maksimum sebatan dibenarkan adalah 24 kali mengikut peraturan penjara.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-13, tertuduh didakwa merogol anak kandungnya yang kini berusia 19 tahun yang mana perhubungan antara mereka tidak dibenarkan undang-undang untuk berkahwin.

Semua kesalahan itu dilakukan tertuduh yang bekerja sebagai penyelia syarikat antara 24 September 2015 hingga 31 Disember 2018 pada masa berbeza di rumah mereka di Taman Thamby Chik, Batu Berendam, dekat sini.

Bagi pertuduhan ke-14 hingga 28, lelaki itu didakwa atas lapan pertuduhan merogol anak keduanya yang kini berusia 15 tahun dan lima pertuduhan melakukan hubungan seks dengan memasukkan objek ke dalam kemaluan mangsa tanpa kebenarannya.

Tertuduh turut didakwa masing-masing satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabi’i terhadap mangsa.

Semua kesalahan itu dilakukan di tempat sama pada tarikh dan masa berlainan antara 4 Mei 2019 hingga 5 September 2022.

Bagi kesalahan merogol, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukum penjara minimum lapan hingga 30 tahun serta 10 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Pertuduhan melakukan seks dengan memasukkan objek ke dalam kemaluan mangsa dikemukakan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun dan denda serta sebat.

Bagi kesalahan melakukan amang seksual fizikal pula, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dibaca bersama Seksyen 16 akta sama, jika disabitkan boleh dipenjara sehingga 30 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii, dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh dan turut membacakan kenyataan yang terpaksa dilalui kedua-dua mangsa menyebabkan mereka mengalami trauma dan takut untuk mendekati lelaki seusia bapanya.

Katanya, sifat kebinatangan tertuduh telah merosakkan institusi kekeluargaan sedangkan adalah menjadi tanggungjawab beliau sebagai bapa untuk menjaga maruah anak perempuannya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya bagaimanapun berkata telah insaf termasuk sudah memohon maaf kepada isteri kedua-dua anaknya itu.

Lelaki itu turut memberi alasan sudah uzur, menghidap sakit jantung dan penyakit kulit kronik selain mengalami masalah tulang belakang menyebabkan pergerakannya terbatas.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Mazana Sinin, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun selepas tertuduh turut mengaku bersalah mengeluarkan kata-kata ugutan bunuh terhadap isteri dan anak-anaknya itu di rumah mereka pada 5 September lalu

Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya dan dijatuhi hukuman penjara dua tahun.

Prosiding berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here