Rosmah dipenjara 10 tahun, denda RM970 juta, dakwa dirinya dan Najib jadi mangsa 

0
50
Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

KUALA LUMPUR -Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor telah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Beliau didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Sekiranya beliau gagal membayar denda, hukuman 10 tahun penjara bagi setiap pertuduhan akan ditambah.

Dalam pada itu, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah membawa kepada hukuman tersebut.

Rosmah yang hadir dengan memakai baju kurung berselendang kuning menangis ketika berucap di hadapan Mohamed Zaini, sejurus sabitan dibaca di hadapannya.

Katanya, beliau tidak pernah menggunakan walau satu sen pun duit daripada Permata dan berserah kepada Allah

“Saya tidak pernah menggunakan walau satu sen pun duit Permata dan kalau itu kesimpulannya saya serah kepada Allah,” katanya.

Tambah Rosmah lagi, beliau dan suaminya (Najib Tun Razak) adalah mangsa dan perkara yang sama boleh berlaku pada semua.

“Ia mungkin boleh berlaku pada saya sekarang dan pada kamu semua di masa hadapan, anak anda, cucu anda. Saya adalah mangsa.

“Kamu sudah lakukan terhadap suami saya dan kamu mahukan kami menderita. Lihatlah saya sebagai wanita, kasihanilah saya,” katanya sambil menangis di hadapan hakim.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here