Rundingan UMNO-Pas perlu dibuat secara rasmi – Ismail Sabri

0
18
Ismail Sabri pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2022 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC) di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri menegaskan sebarang bentuk rundingan antara UMNO dan Pas hanya dianggap sah sekiranya dilakukan secara ‘terang’ dan oleh individu yang dipersetujui oleh parti.

Maka apa sahaja rundingan yang tidak rasmi tidak akan menjadi keputusan rasmi parti itu.

“Rundingan mesti secara terang dan siapa yang berunding perlu diputuskan oleh parti.

“Ada (rundingan) yang kita tidak boleh nak sekat kerana sesiapa pun boleh bertemu dengan rakan-rakan dalam kalangan Pas untuk berjumpa dan berbincang,

“Namun ia hanya boleh jadi sah dan jadi dasar parti apabila diputuskan oleh parti. Parti mesti memutuskan siapa wakil parti yang sah untuk berunding, kalau pergi sendiri-sendiri itu tidak boleh dianggap sebagai mewakili parti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2022 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC) di sini, hari ini.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini berkata, rundingan antara dua parti terbesar itu masih berjalan.

Bagaimanapun perkara itu dinafikan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menegaskan bahawa tiada rundingan antara UMNO dengan Pas seperti yang didakwa oleh Abdul Hadi.

Ismail Sabri berkata, rundingan dengan Pas terhadap 27 kerusi Parlimen yang disifatkan kritikal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu diberi pertimbangan.

Perkara itu menurutnya penting bagi mengelak pertembungan kerusi-kerusi yang mungkin boleh memberi kemenangan kepada pembangkang.

“Mungkin Pakatan Harapan (PH) mendapat kelebihan apabila berlaku pertembungan antara Barisan Nasional (BN) dengan Pas sebagai contoh.

“Namun, apa saja keputusan parti mesti diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO. Kalau ada cadangan seperti itu mungkin boleh dibawa dibincang dalam MT dan kalau bersetuju bolehlah melantik wakil-wakil untuk mengadakan rundingan,” katanya yang juga Naib Presiden UMNO.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here