Sambutan Hari Kebangsaan, DBKL kerugian RM700 ribu landskap rosak

0
13

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dilaporkan mengalami mengalami kerugian sebanyak RM700,000 akibat kerosakan landskap yang berlaku pada sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini.

Laporan portal Awani menyebut, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah sebagai berkata, perkara itu berkemungkinan berpunca daripada kehadiran pengunjung yang begitu ramai.

“Kehadiran pengunjung yang begitu ramai, beberapa landskap di kawasan berhampiran Dataran Merdeka telah rosak. Saya rasa ini agak luar biasa dan mungkin rekod baharu (jumlah pengunjung) untuk Kuala Lumpur ketika sambutan Hari Kebangsaan.

“Sebelum ini kita tidak pernah jangka begitu ramai jumlah pengunjung jadi perkara yang berlaku ini jadi pengajaran dan DBKL akan cuba cari penyelesaian baharu dalam mesyuarat ‘post mortem’ untuk lihat semula segala aspek,” katanya ketika menghadiri malam apresiasi media di ibu kota, malam tadi.

Selain isu kerosakan landskap, DBKL turut berdepan dengan cabaran taburan sampah sebaik sahaja selesai sambutan Hari Kebangsaan di beberapa kawasan terlibat.

Sebelum ini, DBKL turut menzahirkan kekesalan susulan kerosakan landskap yang dialami sewaktu sambutan tersebut yang turut memuat naik beberapa keping gambar.

Sambutan Hari Kebangsaan kali ini menerima sambutan yang agak luar biasa selepas dua tahun ia tidak disambut susulan pandemik Covid-19.

Kira-kira 100,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat membanjiri lokasi sambutan yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here