Sambutan Hari Malaysia diadakan bergilir setiap negeri

0
7
Perdana Menteri tiba di lokasi sambutan dengan menaiki sebuah beca. – GAMBAR IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

MELAKA – Kabinet bersetuju sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan diadakan secara bergilir di setiap negeri.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, langkah itu bagi memberi peluang kepada semua Keluarga Malaysia meraikan sambutan bersejarah itu di negeri masing-masing.

Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 berkata, sambutan kali ini yang diadakan di Melaka berbeza kerana buat pertama kali diadakan di Semenanjung kerana seperti kelaziman, Hari Malaysia diadakan di Sabah dan Sarawak secara bergilir-gilir.

“Langkah ini diambil kerana kita mahu semua rakyat dapat meraikan sambutan ini dengan meriah di negeri masing-masing atas semangat Keluarga Malaysia selain sama memahami makna tarikh keramat 16 Sept.

“Kita bersyukur sambutan ini dapat disambut dengan penuh meriah selepas dua tahun dibelenggu penularan Covid-19… pastinya sambutan di Melaka ini akan menjadi kenangan terindah dan sejarah tersendiri di negeri penuh bersejarah,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi video ucapan yang disiarkan sempena sambutan Hari Malaysia 2022 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, di sini malam tadi.

Annuar berharap sambutan Hari Malaysia yang bertemakan Keluarga Malaysia Teguh Bersama dapat dihayati segenap ahli Keluarga Malaysia dan hidup aman damai serta bersatu padu dalam keterangkuman, kebersamaan serta penuh kesyukuran.

Beliau berkata, konsep tersebut dalam resipi kekuatan dan kesepaduan yang dianjurkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menjamin kemakmuran Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here