Semak latar belakang tawaran bekerja di luar negara, elak jadi mangsa sindiket penipuan – PM 

0
22
Wakil ahli keluarga mangsa sindiket penipuan hadir ke Pejabat Perdana Menteri semalam bagi menyerahkan memorandum mendesak campur tangan kerajaan dalam menangani kes sindiket penipuan ini.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menasihatkan rakyat Malaysia agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan tawaran pekerjaan di luar negara susulan kes rakyat Malaysia menjadi mangsa sindiket penipuan baru-baru ini.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, rakyat Malaysia perlu menyemak terlebih dahulu kesahihan tawaran kerja di luar negara bagi mengelakan daripada menjadi mangsa sindiket jenayah.

“Keluarga Malaysia perlu menyemak kesahihan tawaran kerja di luar negara melalui Wisma Putra, bagi mengelakkan diri daripada terjebak menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan komited membantu dan menyelesaikan isu rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara.

“Saya ingin tegaskan bahawa Kerajaan amat prihatin dan mengambil serius mengenai nasib rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negara seperti di Laos, Myanmar, Thailand dan Kemboja,”’ujarnya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Setiausaha Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim dan wakil keluarga mangsa di sini, hari ini.

Sehubungan dengan itu, hasil maklumat daripada pertemuan tersebut akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri esok.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here