Skop tugas MPN hanya sebagai penasihat, tiada kuasa melaksana – Muhyiddin

0
5
Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan Majlis Pemulihan Negara (MPN) hanya bertindak sebagai badan penasihat kepada kerajaan yang tidak mempunyai kuasa pelaksanaan.

Pengerusi MPN itu berkata, perakuan-perakuan MPN dibawa ke Kabinet untuk kelulusan dan selepas itu hendaklah dilaksanakan oleh kementerian atau agensi kerajaan yang berkenaan.

‘’Sebagai Pengerusi MPN saya tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan menteri atau Ketua Setiausaha Kementerian atau Ketua Pengarah jabatan kerajaan mengambil langkah-langkah tertentu atau membuat keputusan tertentu bagi mempercepatkan proses pemulihan negara. Kuasa ini adalah terletak di tangan Perdana Menteri dan Kabinet.

‘’Ini bermakna, skop tugas MPN ialah memberi nasihat dan perakuan kepada kerajaan dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk meneliti perakuan yang dikemukakan dan melaksanakannya,’’ katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Muhyiddin mengulas kenyataan beberapa pihak yang mengatakan MPN tidak berfungsi dengan baik dalam memacu pemulihan negara.

Beliau berkata, MPN dianggotai oleh Menteri Kewangan sebagai Menteri Penyelaras, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Menteri Kanan Pertahanan, Menteri Kanan Kerjaraya, Menteri Kanan Pendidikan, Menteri Kesihatan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Ketua Setiausaha Negara dan pakar-pakar ekonomi, sosial dan pendidikan termasuk wakil daripada parti-parti pembangkang.

Bekas Perdana Menteri itu menegaskan, beliau tidak berniat untuk menuding jari kepada sesiapa.

‘’Tujuan saya ialah supaya semua pihak sedar bahawa negara kita tidak berada dalam situasi yang baik pada masa ini.

”Walaupun terdapat petunjuk-petunjuk yang positif dari segi kadar pertumbuhan, kadar penggunaan (consumption rate), kadar pengangguran dan lain-lain, petunjuk-petunjuk positif ini adalah sementara sebelum negara kita berhadapan dengan jangkaan kemelesetan ekonomi dunia pada tahun hadapan. Jika langkah-langkah segera tidak diambil untuk memperbaiki keadaan, rakyatlah yang akan menanggung sengsara,’’ katanya.

Sehubungan itu beliau berharap, Perdana Menteri dan kerajaan memberikan tumpuan utama kepada usaha melaksanakan langkah-langkah yang lebih berkesan untuk memulihkan ekonomi negara dengan lebih cepat dan meringankan beban rakyat terutamanya akibat kenaikan harga barang dan kadar inflasi.

‘’Pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan pada tahun hadapan juga akan memberikan kesan yang besar kepada rakyat dan saya berharap kerajaan menerusi Bajet 2023 akan dapat mengemukakan langkah-langkah yang seimbang dan berkesan dalam mengawal kenaikan kadar inflasi, mengatasi kejatuhan nilai ringgit, merangsang pertumbuhan ekonomi dan membantu rakyat yang susah,’’ katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here