SM Faisal saman Caprice

0
51
Caprice

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan terkenal, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal memfailkan saman terhadap penyanyi rap terkenal Caprice atas dakwaan memuat naik hantaran berbaur fitnah di Instagram miliknya, yang mengaitkan ahli perniagaan itu dengan kes bekas isterinya Emilia Hanafi.

Memetik laporan Bernama, SM Faisal, 43, selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Sesyen di sini, menerusi Tetuan Akberdin & Co pada 15 Ogos lepas dengan menamakan Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 36, sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, SM Faisal mendakwa pada 27 Jun lepas, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur memerintahkan Emilia menjalani hukuman penjara selama tujuh hari, selepas didapati gagal mematuhi perintah pengkomitan mahkamah.

Dakwa plaintif, insiden tersebut diuar-uarkan dan dimanipulasi oleh Emilia atau pihak tertentu dengan berniat jahat (mala fide), melalui media massa atau elektronik secara meluas tanpa sebarang rujukan atau klarifikasi daripada pihak plaintif atau Mahkamah Syariah, berhubung kedudukan sebenar kes membabitkan plaintif dan bekas isterinya di Mahkamah Syariah.

SM Faisal mendakwa sehari selepas itu (28 Jun), defendan memburukkan plaintif atau Mahkamah Syariah dengan memuat naik video dan hantaran memfitnah, di Instagram defendan.

“Hantaran memfitnah itu mendapat publisiti meluas kerana defendan mempunyai lebih kurang 1.5 juta pengikut di Instagramnya dan hantaran tersebut dilihat atau disukai kira-kira 14,500 orang,” dakwa plaintif.

SM Faisal mendakwa hantaran fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau seorang lelaki yang kejam dan semberono mahu memenjarakan bekas isterinya, selain tidak bertimbang rasa dan bertindak agresif terhadap kaum wanita atau kanak-kanak.

Menurut plaintif, tindakan defendan itu menyebabkan beliau tertekan dari segi emosi selain dicemuh dalam kalangan masyarakat umum.

Dakwa ahli perniagaan itu, satu surat tuntutan bertarikh 7 Julai lepas telah dihantar bagi memohon supaya defendan menarik balik hantaran itu selain memohon maaf kepada plaintif, namun defendan gagal memenuhi tuntutan tersebut.

Turut dipohon perintah injunksi supaya defendan mengeluarkan dan memadamkan hantaran fitnah itu, selain memohon perintah untuk menghalang defendan atau wakilnya daripada mengganggu dan mengugut plaintif serta ahli keluarganya, sama ada secara lisan atau melalui media sosial.

Oleh itu, plaintif memohon ganti rugi am, ganti rugi punitif, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk dan kos.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, yang mewakili SM Faisal ketika dihubungi pemberita hari ini, mengesahkan pemfailan saman fitnah itu dan memaklumkan 14 Oktober ini ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Idah Ismail.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here