Sultan Selangor tarik balik darjah kebesaran Najib, Rosmah

0
46

CYBERJAYA – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menarik darjah kebesaran terhadap tiga individu termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasmin dalam satu kenyataan berkata, Sultan Sharafuddin berkenan menarik balik Darjah Kebesaran Negeri Selangor setelah berunding dengan Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor.

Katanya, Najib telah dikurniakan Keahlian Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Dato’ Seri pada tahun 2004 dan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) Kelas Kedua yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 1992.

“Beliau telah didakwa di Mahkamah Tinggi di atas beberapa pertuduhan yang melibatkan kes salah guna kuasa, pecah amanah dan penggubahan wang haram ke atas dana SRC International Sdn. Bhd. Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap beliau yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

“Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, Keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Dato’ Seri dan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) Kelas Kedua yang membawa gelaran Dato’ adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September 2022,” katanya.

Beliau berkata, penarikan balik dan pembatalan Keahlian ini selaras dengan kuasa prerogatif baginda di bawah Perkara XXXVIII dan Perkara XXXIX Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 serta Statut Darjah Kebesaran yang berkaitan dan konvensi yang diamalkan di Negeri Selangor.

Dalam pada itu, katanya, Rosmah telah dikurniakan Keahlian Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datin Paduka Seri pada tahun 2005.

Beliau berkata, Rosmah telah didakwa di Mahkamah atas tiga pertuduhan yang melibatkan kesalahan meminta dan menerima rasuah pada 1 September lalu.

“Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, Keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datin Paduka Seri adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September 2022.

“Penarikan balik dan pembatalan Keahlian ini selaras dengan kuasa prerogatif Baginda di bawah Perkara XXXVIII dan Perkara XXXIX Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 serta Statut Darjah Kebesaran yang berkaitan dan konvensi yang diamalkan di Negeri Selangor,” ujarnya.

Selain itu, katanya, turut ditarik balik darjah kebesaran ialah individu bernama Mohd Arif Ab Rahman selepad dia disabitkan  dan dijatuhi hukuman di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan rasuah pada 23 Januari 2021.

“Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, Keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Kebesaran Dato’ – Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) Kelas Kedua yang membawa gelaran Dato’, Darjah Kebesaran Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S.) Kelas Ketiga dan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S.) Kelas Keempat adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September 2022,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here