Tak perlu lagi fikir duit beli buku dan makanan, pelajar tajaan MARA syukur kadar elaun dinaikkan 

0
38
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan dalam Program Aspirasi Kecemerlangan Keluarga Malaysia bersama 3,000 pelajar Institusi Pendidikan MARA (IPMA) di German Malaysian Institute (GMI) kelmarin.

KUALA LUMPUR – Pengumuman kenaikan kadar elaun sara hidup (ESH) pelajar MARA oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendapat reaksi positif dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi.

Menurut pelajar Sarjana Kejuteraan Teknologi (Sains Air dan Tenaga Hidro), Putra Mohd Nor Ridzwan Azhar, dia berasa bangga dan berterima kasih kepada kerajaan atas inisiatif tersebut.

“Saya sebagai pelajar sangat berbangga sangat berterima kasih kepada kerajaan atas timbang rasa dan seharusnya lebih peka lebih cakna dengan kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya kepada Malakat Tribune.

Selain itu, pelajar jurusan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pesawat Terbang Mekanikal, Wan Muhammad Luqman, berkata, kenaikan kadar elaun tersebut itu akan dapat meringankan beban pelajar.

“Bagi saya elaun sara hidup itu dapat mengurangkan beban pelajar dan sangat membantu untuk kami kerana saya dapat tajaan MARA sejak semester dua diploma dan saya menyambung lagi tajaan ini untuk semester akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, ada juga dalam kalangan pelajar yang menyifatkan kenaikan elaun ini sebagai satu kelegaan dan dapat membantu pelajar untuk lebih fokus semasa belajar.

“Semua pelajar akan berasa gembira juga dan pelajar juga akan lebih fokus semasa belajar tidak perlu fikir lagi pasal duit nak beli buku, nak beli makanan dan lain-lain,” kata Aiman Danial, pelajar jurusan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pesawat Terbang Mekanikal.

Kelmarin, Ismail Sabri mengumumkan kenaikan elaun sara hidup itu membabitkan sejumlah 62,998 pelajar tajaan MARA dalam dan luar negara.

Kata beliau, untuk bidang pengajian bermula peringkat Diploma sehingga Doktor Falsafah kadar elauan dinaikkan kepada satu kadar sahaja iaitu pada kadar minima RM650 sebulan sehingga maksima RM950 sebulan.

“Bagi pelajar luar negara pula, kadar elaun dinaikkan kepada kadar minima RM1,380 sebulan sehingga maksima RM7,600 sebulan bermula dari peringkat pengajian Sarjana Muda sehinggalah peringkat Doktor Falsafah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Aspirasi Kecemerlangan Keluarga Malaysia bersama 3,000 pelajar Institusi Pendidikan MARA (IPMA) di German Malaysian Institute (GMI) baru-baru ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here