Tanah orang Melayu akan ‘lenyap’ dalam masa 20 tahun

0
33
Tun Dr Mahathir Mohamad

CYBERJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, trend penjualan tanah oleh orang Melayu kepada orang cina secara berleluasa akan menyebabkan bangsa itu hilang pegangan majoriti tanah di negara ini.

Bahkan katanya, sekiranya proses penjualan tanah itu berterusan, tidak mustahil orang Cina akan menguasai pemilikan tanah-tanah di negara ini seperti yang berlaku di Singapura dalam masa 20 tahun akan datang.

“Masa depan kalau penjualan tanah kepada orang Cina berterusan dalam jangka masa 20 tahun, tanah Melayu ini akan dimiliki oleh orang Cina seperti Singapura.

“Kenapa? Kerana kita miskin. Kenapa kita miskin kerana kita tak sanggup nak belajar, berusaha mendapat kekayaan. Kita tunjuk macam mana nak dapat kekayaan, tapi kita tolak,” katanya.

Dr. Mahathir berkata, ‘kemiskinan’ orang Melayu berkait rapat dengan sikap bangsa itu yang tidak mahu memanfaatkan segala kelebihan yang ada untuk berjaya.

Disebabkan itu jugalah katanya, beliau sedia meminta maaf kepada orang Melayu yang terguris dengan kenyataan kontroversinya ‘Melayu Malas’ suatu ketika dahulu sekiranya tindakan itu mampu mengubah keadaan.

“Saya minta maaf. Orang Melayu rajin. Tetapi masalah boleh atasi dengan saya minta maaf?

“Kalau kerana saya minta maaf itu, maka orang Melayu jadi kaya, baik, saya minta maaf. Itu kalau nak,” katanya pada program Dialog Parti Politik Melayu-Islam, di Hotel Adamson Kuala Lumpur semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here