Tanam tekad jadi pembayar bukan penerima zakat, usahawan wanita ini berjaya hasilkan jenama produk susu dan tepung sendiri 

0
32
Pengarah Legasi Z Sufi Group of Co, Suhaila Abdul Kadir.

CYBERJAYA – Siapa sangka dengan hanya menjual produk susu dan tepung, kini Legasi Z Sufi Group of Co bukan sahaja telah berkembang sebagai sebuah entiti perniagaan yang berjaya, malah telah membantu lebih 10,000 orang yang kurang berkemampuan.

Ditubuhkan pada tahun 2018, Legasi Z Sufi Group of Co kini mempunyai empat anak syarikat dan lebih 200 kakitangan yang bernaung di bawahnya sehingga melahirkan satu jenama yang kini semakin dikenali ramai iaitu Man-G.

Menurut Pengarah Legasi Z Sufi Group of Co, Suhaila Abdul Kadir, beliau sudah meminati dunia perniagaan sejak muda lagi dengan berniaga di sekitar kampungnya yang terletak di Alor Setar, Kedah.

Malah, sejak kecil lagi Suhaila telah menanam telad dalam dirinya untuk menjadi pembayar zakat.

“Saya mula dengan hanya berniaga di kampung dan sejak itu saya berazam untuk jadi pembayar zakat bukan penerima zakat,” katanya.

Susu pekat manis Man-G.

Tambahnya lagi, antara produk yang telah berjaya dipasarkan di bawah jenama Man-G ketika ini adalah susu pekat manis, susu cair dan tepung kek coklat.

“Perniagaan kami bukan semata-mata hanya untuk mengaut keuntungan tetapi niat kami adalah untuk membantu rakyat Malaysia khusunya golongan asnaf dan B40.

“Jadi kenapa kami pilih susu? Tujuan utamanya adalah golongan B40 sangat memerlukan susu dan berdasarkan kajian kita tengok susu adalah antara barang yang dikehendaki oleh rakyat Malaysia,” katanya kepada Malakat Tribune dalam satu temubual eksklusif, hari ini.

Mengulas dengan lebih lanjut, Pengurus Pembangunan Produknya, Mohd Azhan Harun, berkata, produk susu Man-G mempunyai keunikannya yang tersendiri dan setaraf dengan produk susu lain yang dijual di pasaran.

Pengurus Pembangunan Produknya, Mohd Azhan Harun.

“Yang baiknya mengenai susu kami ini adalah ia mengandungi vitamin A, B dan D yang mana produk-produk lain ada dan ada juga yang tiada.

“Jadi produk kami ini setaraf dengan produk lain di pasaran kerana rasanya yang lebih lemak, lebih buih serta tidak mengandungi kolestrol,” katanya.

Susu sejat Man-G.

Tambah Azhan lagi, penerimaan daripada orang ramai adalah sangat menggalakkan kerana terdapat lebih 30 cawangan pasaraya, vendor dan restoran yang menjual produk Man-G ini.

Untuk rekod, sebanyak 10 peratus hasil daripada jualan susu Man-G akan disalurkan kepada Yayasan Al-Manjie untuk aktiviti kebajikan dan sepanjang penubuhan yayasan tersebut, seramai 10,000 orang telah menerima manfaat hasil daripada sumbangan mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here