Teknologi percetakan 3D kini mampu milik

0
13
Antara kanak-kanak yang mengikuti bengkel percetakan 3D di Malakat Mall, hari ini.

CYBERJAYA – Teknologi percetakan 3D bukanlah sesuatu yang baharu, tetapi masih ramai yang tidak memilih bidang ini sebagai hobi atas dasar kos yang tinggi.

Namun, perkembangan teknologi masa kini menyaksikan pencetak 3D kini dijual pada harga mampu milik dan boleh digunakan oleh sesiapa sahaja jika diberi pengetahuan asas yang mencukupi.

Sebagai pengenalan kepada orang ramai, pihak Malakat Mall hari ini mengadakan satu pameran dan bengkel percetakan 3D khusus buat pengunjung bagi menambah pengetahuan orang ramai mengenai teknologi tersebut.

Bengkel yang diadakan dengan kerjasama syarikat teknologi Gaia Pebbles itu berjaya membuka mata ramai pengunjung mengenai kelebihan teknologi tersebut.

Menurut Eksekutif Pemasaran Gaia Pebbles, Mohd. Rizuan, teknologi 3D mempunyai potensi luas untuk dikembangkan kerana mempunyai pelbagai kegunaan.

“Teknologi ini, dahulunya mahal kerana mesin pencetak yang digunakan mempunyai kos yang tinggi.

“Perkembangan teknologi kini menjadikan mesin tersebut lebih mampu milik, lebih murah dari harga sebuah iPhone,” kata Mohd. Rizuan, hari ini.

Berikutan itu, katanya lagi, semakin ramai individu yang menjadikan bidang ini sebagai satu hobi, kerana kegunaannya yang meluas.

“Kita boleh cetak macam-macam, dari perkakas makanan seperti pinggan, cawan dan sudu, dan juga peralatan lain seperti tombol pintu.

“Selagi kita mempunyai blueprint (cetak biru) alat dan benda yang kita mahukan, ia boleh dicetak,” jelasnya lagi.

Pada masa yang sama, terdapat juga alat mudah alih yang berfungsi umpama pen namun dengan kemampuan yang sedikit berbeza.

“Dengan gunakan pen ini, ia umpama melukis namun objek itu timbul di depan mata.

“Ia sesuai digunakan oleh kanak-kanak kerana ia mampu menanam minat mereka dalam merealisasikan objek yang mereka bayangkan,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here