Temasya Buku & Kopi di Malakat Mall pada minggu depan

0
24
Norden Mohamed.

CYBERJAYA – Peminat buku dan juga pencinta kopi dipelawa untuk berkunjung ke Malakat Mall di sini sempena penganjuran Temasya Buku & Kopi pada 7 hingga 9 hari bulan ini.

Program yang akan bermula dari pukul 9 pagi sehingga 9 malam itu dianjurkan oleh kedai buku IqraRead (Malakat Mall) dengan kerjasama Tea Amo dan Malakat Lifestyle.

Pengurus Iqra Read Bookstores, Norden Mohamed berkata, program yang julung kali diadakan itu akan dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik.

Antaranya pameran buku, bicara buku, pertandingan mewarna, mencari harta karun, penerangan proses penerbitan buku, buku online (e-book) dan persembahan seni kopi.

Norden berkata, pihaknya menggabungkan dua ‘seni’ yang cukup akrab iaitu membaca dan kecintaan kepada kopi.

“Penganjuran ini adalah sebagai satu penghargaan dan penghayatan kepada buku sebagai teman pada waktu relaks dan kopi sebagai pelengkap istirehat.

“Pertemuan pada acara ini diharap akan dapat merapatkan silaturrahim serta membuka sebarang peluang yang dapat diteroka berkait dengan minat ini,” katanya.

Beliau berkata, temasya Buku & Kopi juga bertujuan memberi pendedahan kepada generasi muda dan juga ibu bapa terhadap budaya membaca yang semakin dipinggirkan ketika ini.

“Dalam kesibukan kita menadah sahaja hiburan di Internet dan TV, kita lupa untuk mencari
kepuasan minda dan jiwa dengan membaca.

“Di Iqra Read Bookstores, kami menyediakan banyak buku yang terkini, menarik, kreatif dan kaya dengan kandungan ilmu baharu,” katanya.

Antaranya termasuk penerbit terkenal Iman Publications, PTS Distributors, Grup Buku Karangkraf, Telaga Biru, Karya Bestari, Mustread, Patriots Publishing, Mind to Mind dan banyak lagi.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai jenis kopi seperti kopi espresso, cappuccino, latte, mocca, doppio atau kopi-O kaw! dan berinteraksi dengan barista-barista profesional.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here