Terlalu seronok bermain hingga kepala tersangkut dalam kon

0
8

PONTIAN – Akibat terlalu seronok bermain, seorang kanak-kanak terpaksa menahan sakit lebih 30 minit berikutan kepalanya tersangkut pada sebuah kon plastik dan mencetuskan suasana cemas di Sekolah Kebangsaan (SK) Api Api di Pontian, tengahari tadi.

Laporan Awani menyebut, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Mohd Ezal Azman sebagai berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.28 tengah hari tadi.

Tambahnya, apabila Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di lokasi, pihaknya mendapati seorang kanak-kanak berusia 10 tahun tersangkut kon di kepala.

Namun nasib menyebelahi mangsa, apabila pihak bomba berjaya menyelamatkan mangsa dengan memotong kon tersebut dan mengeluarkan kepala mangsa.

“PKO bertindak memotong kon tersebut menggunakan peralatan khas dan mengeluarkan kepala mangsa dengan selamat.

“Difahamkan mangsa bersekolah pada sesi pagi dan sewaktu kejadian mangsa hendak pulang sekolah dan sedang bermain dengan rakan-rakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Ezal berkata, rakan mangsa memaklumkan kanak-kanak berusia 10 tahun itu memasukkan kepala ke dalam kon dan menekan terlalu kuat sehingga tidak boleh ditanggalkan.

“Rakan mangsa memaklumkan mangsa memasukkan kon terlalu kuat hingga tidak boleh ditanggalkan,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here