TH catat pendapatan RM1.47 bilion, tertinggi dalam sejarah

0
16
Tabung Haji

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mencatat jumlah pendapatan sebanyak RM1.47 bilion dalam separuh tahun pertama 2022 dengan jumlah deposit berjumlah RM88.09 bilion, iaitu paras tertinggi sejak 59 tahun penubuhan TH.

TH dalam satu kenyataan dikeluarkan berkata, pihaknya mencatatkan 200,000 pembukaan akaun simpanan baharu sepanjang enam bulan pertama tahun ini, menjadikan jumlah pendeposit keseluruhan bertambah kepada 8.6 juta orang.

“Pencapaian ini mencerminkan daya tahan TH walaupun berhadapan dengan kesan-kesan selepas pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir, antaranya ancaman inflasi, ketidaktentuan pasaran dan kelemahan ekonomi dunia.

“Sebahagian besar pendapatan TH diperoleh daripada pelaburan pendapatan tetap yang telah menyumbang sebanyak RM966.34 juta dalam tempoh separuh tahun pertama yang merangkumi 65.71 peratus daripada jumlah pendapatan kasarnya,” menurut kenyatan dari laman web rasmi TH.

Sementara itu, pelaburan saham turut menyumbang sebanyak RM224.62 juta yang mencatatkan peningkatan RM41.27 juta berbanding RM183.35 juta pada tempoh yang sama pada tahun lalu.

“Pelaburan ekuiti menyumbang 15.27 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan, manakala pelaburan harta tanah memperoleh pendapatan sebanyak RM213.66 juta, diikuti pendapatan-pendapatan lain sebanyak RM66.07 juta,” katanya.

Menurut kenyataan itu, setelah mengambil kira perbelanjaan termasuk peruntukan zakat, TH mencatat keuntungan bersih sebanyak RM1.03 bilion dalam tempoh enam bulan pertama sehingga 30 Jun 2022, berbanding RM1.22 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun 2021.

Peningkatan kos perbelanjaan adalah sebahagian daripada kos ibadah haji yang ditanggung kerajaan melalui TH.

Dalam pada itu, TH turut mengumumkan peningkatan perbelanjaan sebanyak RM134.42 juta pada separuh tahun 2022 kepada RM437.30 juta pada Jun 2022 kerana Bantuan Kewangan Haji kepada jemaah haji 1443H/2022M yang terus ditanggung oleh TH.

Namun sekiranya perbelanjaan Bantuan Kewangan Haji tidak diambilkira, TH menganggarkan peningkatan perbelanjaan sebanyak 3.65 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Amrin Awaluddin

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, ketahanan pencapaian kewangan TH mencerminkan pendekatan pelaburan yang mampan dengan pengurusan kecairan yang mantap, berpandukan kepada Alokasi Aset Strategik (SAA) yang bertujuan meminimumkan kesan turun naik jangka masa panjang di pasaran.

Beliau berkata, sebagai menghargai sokongan para pemegang taruh terutamanya pendeposit, pihaknya akan meneruskan usaha meningkatkan pendapatan melalui pelaburan dan menguruskan kos operasi dengan lebih cekap.

“Transformasi secara berkala telah dilakukan dari segi operasi, polisi, bimbingan dan kos-kos berkaitan untuk terus berdaya saing dan selari dengan peredaran masa untuk memastikan TH kekal lestari hingga ke masa hadapan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here