Tidak perlu pulangkan PerantiSiswa setelah tamat pengajian – PM

0
13

CYBERJAYA – Penerima tablet PerantiSiswa tidak perlu memulangkan peranti tersebut setelah tamat pengajian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan maklum balas sesi pertemuan antara Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa bersama wakil Majlis Perwakilan Pelajar pada 15 Ogos lepas.

“Justeru, pada hari ini sukacita saya mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk memberi terus peranti yang berupa sebuah tablet berjenama terkenal ini kepada semua penerima,” katanya semasa berucap melancarkan Inisiatif Peranti Siswa Keluarga Malaysia, di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, ia berbeza dengan pengumuman inisiatif PerantiSiswa sebelum ini menggunakan Konsep Guna Pakai (KGP), di mana mahasiswa perlu menyerahkan semula peranti setelah tamat pengajian.

“Pemberian peranti ini adalah sebagai penghargaan dan diharapkan menjadi pemangkin bagi penerima Peranti Siswa untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat keputusan yang cemerlang.

“Selain itu, dalam usaha memastikan lebih ramai golongan pelajar dan remaja memperoleh akses internet untuk pembelajaran talian dari rumah tanpa kekangan data,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju untuk memanjangkan tempoh pendaftaran pakej remaja Keluarga Malaysia.

Katanya, pakej prabayar mampu milik khusus untuk golongan remaja dan pelajar termasuk pelajar pascasiswazah itu telah diperkenalkan bermula Oktober 2021, yang sepatutnya tamat, pada Okt ini.

“Keputusan pemanjangan tempoh ini diharapkan memberi peluang kepada lebih ramai remaja dan pelajar untuk melanggan pakej remaja Keluarga Malaysia yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan mudah alih,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here