TYT Pulau Pinang tarik balik darjah kebesaran Najib

0
46
Najib Razak

GEORGETOWN – Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Ahmad Fuzi Abdul Razak menarik balik darjah kebesaran negeri, keahlian Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) yang dianugerahkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak berkuat kuasa hari ini.

Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Mohd Zakuan Zakaria berkata, Najib dianugerahkan DUPN yang membawa gelaran Datuk Seri Utama pada 2009.

“Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap beliau atas beberapa pertuduhan.

“Berdasarkan sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan kepada beliau, keahlian beliau sebagai penyandang DUPN yang membawa gelaran Datuk Seri Utama adalah dibatalkan dan dimansuhkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Zakuan, pembatalan dan pemansuhan keahlian itu selaras dengan kuasa yang diberikan kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang menurut Perkara 6 dan 8 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang serta Peraturan 18 Statut Darjah Pangkuan Negeri 2011.

Baru-baru ini Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menarik balik darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri yang dikurniakan kepada Najib pada 1992 dan 2004.

Selain itu, gelaran Datin Paduka Seri yang dikurniakan kepada isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, pada 2005 turut ditarik balik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here