Wanita ditahan disyaki dera pembantu rumah

0
16

CYBERJAYA – Seorang wanita warga tempatan ditahan baru-baru ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kes penderaan seorang pembantu rumah warga Indonesia, di sebuah rumah di Batu Caves, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata, penahanan suspek berusia 35 tahun pada Khamis lepas dilakukan selepas mangsa berjaya melarikan diri daripada rumah majikannya itu dan membuat laporan polis pada 5 petang, sehari sebelum itu.

Katanya, pembantu rumah berusia 46 tahun itu mendakwa didera secara fizikal oleh majikannya yang merupakan pasangan suami isteri.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa telah bekerja dengan pasangan tersebut mulai Oktober 2019 serta sering dipukul sejak itu.

“Mangsa sedang menerima rawatan di Hospital Selayang untuk pemeriksaan dan pemerhatian lanjut oleh pegawai perubatan. Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Zainal Mohamed berkata, suspek berusia 35 tahun itu ditahan reman sehingga Isnin depan.

“Pihak polis sedang melengkapkan siasatan bagi kes ini dan akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia dan Jabatan Imigresen bagi memastikan siasatan lengkap dari pelbagai sudut bagi tujuan pendakwaan ke atas suspek,” katanya lagi.

Beliau menambah, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah ASP Mohd Reezal Mohammad @ Mohd Zain di talian 03-6126 2222 atau 013-3479809.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here