Wanita ditahan disyaki rancang pembunuhan suami

0
30

CYBERJAYA – Polis Selangor menahan seorang wanita selepas disyaki mengupah dua lelaki untuk merompak kediamannya sebelum membunuh suaminya dalam satu kejadian di Taman Aneka Baru, Sungai Udang, pada Khamis lepas.

Laporan portal Otusan Online menyebut, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed sebagai berkata, wanita berusia 37 tahun itu ditahan selepas siasatan mendapati, dia mempunyai kaitan dengan kejadian itu.

“Menerusi keterangan wanita itu, dua lelaki bertopeng dan bersenjatakan pisau memasuki rumah melalui pintu hadapan lalu menikam mangsa yang berusia 41 tahun.

“Dua suspek itu juga dikatakan menggeledah bilik dan mengambil pelbagai beg tangan berjenama, barang kemas dan wang tunai berjumlah RM40,000,” katanya.

Bagaimanapun, siasatan lanjut berjaya membongkar kejadian sebenar apabila suspek kemudiannya mengaku merancang kejadian itu sebelum polis menahannya bersama empat lelaki berusia 20 hingga 36 tahun bagi membantu siasatan.

Katanya lagi, polis turut merampas sebuah kereta BMW yang digunakan suspek selain beg tangan dan barang kemas yang dilarikan ketika kejadian.

“Motif kejadian dipercayai mempunyai unsur dendam dan kepentingan diri.

“Polis turut mengambil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian dan hasil bedah siasat mendapati, mangsa maut akibat lebih 14 tikaman di badan dengan senjata tajam,” katanya.

Kesemua suspek yang memiliki pelbagai rekod jenayah lampau, direman lima hari bagi membantu siasatan.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu membunuh serta rompakan berkumpulan bersenjata,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here