Warga Indonesia ditahan, suspek utama kes langgar lari pegawai kanan Imigresen

0
12

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki warga Indonesia direman empat hari mulai hari ini kerana disyaki terlibat dalam kejadian langgar lari yang meragut nyawa seorang pegawai imigresen di KM83.4 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, Ahad lalu.

Perintah reman ke atas pemandu Proton Wira Aeroback berusia 27 tahun itu dikeluarkan Majistret Nor Fazlina Musa susulan permohonan polis.

Dalam kejadian pada pukul 9.30 pagi Ahad lalu, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Muhammad Nizam Samsudin, 46, meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah di kepala selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta menyebabkan mangsa terbabas ke lorong kecemasan.

Rakannya, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan, Zaili Nizam Muhammad, 43, yang tidak sempat mengelak daripada merempuh motosikal Nizam patah kaki kanan.

Polis kemudian mengesan sebuah Proton Wira Aeroback berwarna perak dengan bernombor pendaftaran TAC 5688 melalui rakaman kamera litar tertutup di Plaza Tol Gurun.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Zaidy Che Hassan berkata, suspek ditahan semalam selepas menyerah diri di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.

“Suspek yang tidak memiliki lesen memandu mendakwa melarikan diri ke rumahnya di Pokok Sena kerana bimbang dipukul.

“Semakan lanjut mendapati, kenderaan yang dipandu ketika kejadian adalah milik abang iparnya yang berada di Kuala Lumpur,” kata Zaidy.

Katanya, suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here