Yayasan Food Bank Malaysia kumpul dana bantu keluarga asnaf hadapi musim tengkujuh

0
11
Sukarelawan YFBM menyampaikan sumbangan kepada penerima berstatus asnaf pada tahun lalu.

CYBERJAYA – Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) mengajak orang ramai bersama-sama membantu meringankan beban sebanyak 110 keluarga asnaf yang menetap di tiga buah pulau di Johor bagi berhadapan dengan musim tengkujuh yang dijangka berlaku beberapa bulan lagi.

Menurut YFBM, menerusi Misi Bantuan Kemanusian Susur Pulau 2022 itu, pihaknya mensasarkan keluarga nelayan yang bergantung penuh pada hasil tangkapan laut dan juga pelancongan.

“Kawasan edaran yang dikenalpasti adalah di kampung-kampung di Pulau Aur, Pulau Pemanggil dan Pulau Tinggi. Kampung-kampung yang berada di dalam pulau ini terkesan akibat industri pelancongan yang terhenti dan juga musim tengkujuh yang bakal tiba.

“Ciri-ciri penerima bantuan adalah terdiri dari keluarga asnaf yang bermastautin
sepanjang musim di pulau-pulau tersebut. Sebahagian besar penduduk kampung adalah para nelayan kecil, bekas pengusaha dan pekerja industri pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, memandangkan tempoh musim tengkujuh berpanjangan sehingga Januari setiap tahun, YFBM bercadang untuk menyalurkan bantuan bekalan makanan asas kepada penduduk di pulau-pulau tersebut untuk tempoh tiga bulan.

“Antara barangan yang akan disumbangkan ialah pek kebersihan diri dan bekalan makanan keperluan asas seperti beras, minyak, gula, kopi dan makanan dalam tin.

“Misi bantuan ini akan dilaksanakan selama dua hari bermula pada 9 dan 10 Oktober 2022. Kami sangat mengalu-alukan kerjasama semua pihak sama ada orang perseorangan, agensi kerajaan, syarikat korporat atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk sama-sama menghulurkan bantuan,” katanya.

Menurutnya lagi, sumbangan wang tunai boleh disalurkan kepada yayasan itu melalui akaun Maybank Yayasan Food Bank Malaysia 5660 1063 0584 dengan meletakkan rujukan sebagai SusurPulau2022.

Selain itu, katanya, orang ramai juga boleh melayari laman sesawang www.foodbankmalaysia.org/donate/.

“Bagi sumbangan berbentuk barangan keperluan, sumbangan anda boleh dihantar terus ke Pejabat Yayasan Food Bank Malaysia di alamat No. 8, Jalan BA4/1, Kawasan Perindustrian Bukit Angkat 4, Kajang, Selangor,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here